Wanita UMNO Saran Kerajaan Teruskan Moratorium Sepenuhnya

KUALA LUMPUR, 1 Sept – Pandemik COVID-19 yang melanda negara sememangnya memberi impak yang cukup besar kepada rakyat dan ianya telah mengubah pola kehidupan seharian termasuklah ekonomi setiap keluarga.

JJusteru dari itu, Ketua Wanita UMNO Malaysia, Datuk Dr Noraini Ahmad melahirkan harapan agar kerajaan mempertimbangkan untuk kembali melaksanakan moratorium sepenuhnya apatah lagi minggu lalu bank-bank utama Malaysia mengumumkan keuntungan bagi tempoh suku tahun kedua (April hingga Jun) tahun 2020 walaupun dalam tempoh tiga bulan paling susah di mana bank diarahkan untuk memberi moratorium pinjaman serta operasi bank terganggu akibat tempoh PKP yang paling ketat.

Jelas beliau, pengumuman tersebut secara tidak langsung menunjukkan bahawa bank masih mampu bertahan dan dalam keuntungan walaupun diancam krisis COVID-19 dan diarahkan untuk memberi moratorium pinjaman.

“COVID-19 sememangnya menjejaskan kehidupan rakyat maka menyedari hakikat ini dan kerana rasa keprihatinan, kerajaan telah melaksanakan moratorium dan tindakan kerajaan ini benar-benar membuatkan rakyat mampu menarik nafas lega. Umum mengetahui setelah moratorium tamat, kerajaan telah melaksanakan pula moratorium bersasar yang memberi fokus kepada golongan benar-benar memerlukan.

“Sebenarnya, denyut nadi rakyat amat mengharapkan agar moratorium dilanjutkan kepada semua tanpa mengira golongan B40 atau tidak. Kerana apa? Kerana rakyat sebenarnya masih terhimpit dengan keadaan ekonomi keluarga yang masih belum pulih,” ujar beliau dalam satu kenyataan media.

Tambah Noraini yang juga Menteri Pengajian Tinggi merangkap Ahli Parlimen Parit Sulong, bukan hanya golongan yang hilang pekerjaan tetapi mereka yang dipotong gaji, mempunyai tanggungan yang ramai walaupun pendapatan bulanan agak besar adalah antara golongan yang amat mengharapkan moratorium dipanjangkan sehingga Disember tahun ini.

“Sudah pasti, rakyat akan bersyukur dan berterima kasih sekiranya moratarioum ini lanjutkan. Kita kerajaan prihatin… suara rakyat kita dengar,” luah beliau.

Untuk rekod, minggu lepas, bank-bank utama Malaysia mengumumkan keuntungan bagi tempoh suku tahun kedua (April hingga Jun) tahun 2020.

Berikut adalah senarai semua bank yang masih mencatat keuntungan;

Maybank – RM942 juta (suku sama tahun lepas: RM1.94b)
CIMB – RM277 juta (RM1.51b)
RHB Bank – RM400 juta (RM615 juta)
Public Bank – RM1 bilion (RM1.33b)
Alliance Bank – RM104 juta (RM77 juta)
Hong Leong Bank – RM525 juta (RM469 juta)
Ambank – RM365 juta (RM391 juta)
Affin Bank RM67 juta (RM156 juta)
Bank Islam RM153 juta (RM195 juta) – UMNO ONLINE

Oleh: Azlina Rosdy

Leave a Reply

Your email address will not be published.

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.