Tiada Krisis Dalam Kepimpinan UMNO Sabah – Ahmad Zahid

KOTA KINABALU, 1 Sept – Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menyatakan tiada krisis antara Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin dengan Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan.

Kstanya, hal tersebut bukanlah krisis tetapi lebih merupakan perbezaan pendapat dalam keluarga.

“Tidak ada krisis sebenarnya, ini hanya seperti berkocaknya air di dalam cawan. Itu hanyalah masalah adik-beradik. Tiada masalah yang tidak boleh diselesaikan,” kata Ahmad Zahid selepas mengadakan perjumpaan tertutup dengan Jentera Wanita UMNO Negeri Sabah di Kota Kinabalu semalam.

Sementara itu, dilaporkan menerusi ucapan tertutup tersebut Ahmad Zahid tampak menyatukan kepimpinan parti apabila turut memberi penghargaan kepada pemangku-pemangku Ketua UMNO Bahagian yang terpaksa mengambil alih kepimpinan bahagian apabila berlaku penghijrahan beramai-ramai Ketua UMNO bahagian ke PPBM sebelum ini.

Abdul Rahman Dahlan yang ditemui di luar majlis yang sama enggan mengulas lanjut tetapi dengan muka gembira menyatakan biar Presiden yang memberi kenyataan. – SUARA.TV

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.