Prasarana Lancar Inisiatif ‘RapidKL Free Car Boot Space@LRT’

KUALA LUMPUR, 31 Ogos – Selaras dengan tema hari Kebangsaan ‘Malaysia Prihatin’, Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) bergandingan dengan MRT Corp melancarkan inisiatif ‘RapidKL Free Car Boot Space@LRT’ yang merupakan lanjutan daripada program ‘Rapid KL Support Lokal’.

Ujar Pengerusi kumpulan Prasarana, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman, inisiatif ini diadakan susulan daripada pengumuman Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz ketika mengadakan pertemuan dengan Prasarana pada 28 Jun lalu.

“Projek ini adalah satu projek yang memaparkan keprihatinan Prasarana kepada masyarakat. Kita sedar pandemik COVID-19 telah menyebabkan ramai hilang punca pendapatan dan dengna memberi peluang ini mereka akan dapat bangkit semula.

“Kita tidak mengenakan sebarang bayaran kecuali bayaran ‘one off’ untuk kebersihan iaitu RM40 sahaja. Inilah antara sumbangan Prasarana kepada rakyat dan saya berharap agar pendamik COVID-19 ini akan berakhir segera,” ujar beliau kepada media selepas melancarkan ‘Projek Sejahtera 2020’ di stesen MRT Merdeka di sini hari ini.

Tambah Tajuddin, sebagai permulaan kepada program berkenaan, Prasarana akan membuka lima stesen untuk mereka yang berminat untuk mengadakan perniagaan kecil-kecilan di stesen-stesen LRT Glenmarie, Kelana Jaya, Cempaka, Pudu LRT dan stesen Pandan Indah. Program bermula pada 19 September dan diadakan pada setiap Sabtu dan Ahad di kawasan parkir stesen-stesen berkenaan.

Megulas berkaitan projek Sejahtera pula Tajuddin berkata, ia adalah usaha menyuburkan semangat patriotism dan cintakan negara di kalangan rakyat di samping menghayati kembali prinsip-prinsip Rukun Negara.

Program berkenaan turut melibatkan para peniaga yang mendaftar dengan projek ‘Rapid KL Support Lokal’ yang dilancarkan oleh Prasarana untuk membantu para peniaga di sepanjang laluan rel dan bas Rapid KL. Dengan mendaftar di bawah program berkenaan, mereka akan mendapat sokongan publisiti dan promosi secara percuma daripada Prasarana khususnya daripada pasukan media sosial dan Jabatan Hal Ehwal Medianya.

Pada majlis di Stesen MRT Merdeka itu, seramai enam peniaga makanan dijemput untuk memperagakan produk-produk makanan mereka untuk disaji kepada para tetamu khususnya golongan media yang datang untuk membuat liputan acara berkenaan. – UMNO ONLINE

Oleh: Azlina Rosdy

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.