UMNO Membentuk Roh Perjuangan Kemerdekaan 63 Tahun

KUALA LUMPUR, 30 Ogos –  Naib Ketua Wanita UMNO, Datuk Norliza Abdul Rahim berkata laungan keramat ‘Merdeka’ 63 tahun lalu terus subur di hati setiap rakyat Malaysia, lantas beliau dengan rasa rendah diri dan bersyukur mengucapkan selamat menyambut hari kemerdekaan ke-63 yang bertemakan Malaysia Prihatin.

Ujarnya, tema yang berjiwa besar itu menggambarkan seluruh rakyat di negara ini turut sama memerangi wabak COVID-19 serta kecaknaan kerajaan dengan melakukan pelbagai inisiatif merangkumi aspek ekonomi dan kebajikan demi kelangsungan hidup rakyat.

“UMNO tidak terkecuali dalam hal ini kerana sebahagian perjuangan 74 tahun adalah untuk perjuangan kemerdekaan negara.

“Sehubungan itu, setiap nilai patriotisme yang menjadi sebahagian daripada nilai murni perlu dipupuk dan seandainya dijiwai dan diamalkan sebaik mungkin, akan dapat menyumbang ke arah pembentukan generasi yang berhemah tinggi dan berakhlak mulia,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Tambahnya lagi, setiap rakyat terutama generasi muda perlu menjadikan nilai patriotisme sebagai amalan atau pegangan serta disemai dalam jiwa segenap lapisan masyarakat Malaysia demi kelangsungan negara dalam menghadapi era pasca modenisme normal yang baharu. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.