Terima Kasih Semua, Harap Pola PRK Slim Dikekalkan – Mohamad Hasan

TANJUNG MALIM, 30 Ogos – Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Mohamad Hasan melahirkan rasa syukur atas kemenangan BN yang mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim dan mengucapkan terima kasih kepada pengundi serta seluruh jentera parti.

Menurut beliau kemenangan berkenaan menunjukkan bahawa rakyat masih merasai keperitan di bawah pentadbiran Pakatan Harapan (PH) sebelum ini selama 22 bulan.

‘’Penolakan pengundi-pengundi memperlihatkan penolakan terhadap parti pembangkang terutama Pejuang yang baru ditubuhkan dan penolakan yang begitu ketara sekali walaupun semasa kempen baru-baru ini ramai pemimpin yang menyokong PH berkempen untuk tidak meletakkan calon tetapi berkempen kepada calo Bebas.

‘’Nampaknya sokongan rakyat tidak dapat diraih. Jadi Alhamdulillah saya melahirkan rasa syukur dan terima kasih kepada semua pengundi yang memberikan sokongan kepada BN pada PRK ini,’’ katanya kepada media di pusat penjumlahan undi PRK DUN Slim, Majlis Daerah Tanjung Malim, di sini, malam tadi.

Mohamad seterusnya berharap pola berkenaan dapat dikekalkan untuk Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah dan Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

‘’Kita berharap ‘pattern’ ini akan dikekalkan dan pada bulan depan PRN Sabah akan diadakan maka BN serta rakan-rakan perlu bekerja kuat dan perlu bekerja keras kerana pilihan raya di Sabah ini akan juga nanti ada impaknya kepada PRU di Semenanjung,’’ ujarnya yang juga Timbalan Presiden UMNO.

BN mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim dengan majoriti yang besar apabila calonnya Mohd Zaidi Aziz mengalahkan dua lagi calon bebas dengan majoriti sebanyak 10,945.

Mohd Zaidi mengalahkan Amir Khusyairi yang menggunakan simbol pokok serta Santharasekaran pula menggunakan simbol buku pada Pilihan Raya Kecil (PRK) kawasan berkenaan yang berlangsung pagi tadi.

Keputusan berkenaan diumumkan Pegawai Pengurus Pilihan raya, Shamsul Ridzuan Idris di Dewan Majlis Daerah Tanjung Malim.

Mohd Zaidi mendapat 13,060 undi, manakala Amir Khusyairi mendapat 2,115 undi dan Santharasekaran mendapat 276 undi.

Dengan keputusan itu, BN terus mengekalkan kerusi DUN Slim dan yang pasti tugas dan amanah menanti Mohd Zaidi Aziz sebagai wakil rakyat baru DUN Slim setelah mendapat kepercayaan daripada pengundi.

PRK DUN Slim diadakan berikutan kematian penyandangnya Datuk Mohd Khusairi Abdul Talib pada 15 Julai.

Pada PRU-14, Mohd Khusairi yang mewakili BN menang dengan majoriti 2,183 undi menewaskan calon Bersatu yang bertanding atas tiket PKR, Mohd Amran Ibrahim dan calon PAS, Muhammad Zulfadli Zainal

Proses pengundian bermula pada jam 8 pagi tadi dan dilaksanakan menerusi kebiasaan baharu, dengan prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan bagi mengurangkan impak penularan COVID-19.

Sebanyak 12 Pusat Daerah Mengundi (PDM) dengan 54 saluran mengundi dibuka Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) di seluruh kawasan DUN berkenaan. – UMNO Online

Oleh: Azman Abas

Leave a Reply

Your email address will not be published.

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.