Tema Malaysia Prihatin Gambaran Sebenar Keprihatinan Kerajaan Kepada Rakyat

KUALA LUMPUR, 30 Ogos – Ketua Wanita UMNO Malaysia Datuk Dr. Noraini Ahmad berkata, hari Kebangsaan ke-63 kali ini benar-benar memberi makna dan bersesuaian dengan temanya iaitu ‘Malaysia Prihatin’.

Justeru jelas beliau, beberapa penambahbaikkan boleh dilakukan bagi terus membantu meringankan beban rakyat khususnya kaum wanita ketika negara masih dibelengu dengan pandemik COVID-19.

“Pandemik COVID-19 yang melanda seluruh negara telah memberi impak yang begitu hebat kepada seluruh negara dan rakyat Malaysia tidak terkecuali. Ekonomi negara terjejas dan pendapatan rakyat terkesan hebat.

“Disinilah, pentadbiran kerajaan menunjukkan sikap yang begitu bertanggungjawab apabila amat prihatin dengan permasalahan yang menimpa rakyat. Pelbagai bantuan dihulurkan, suara rakyat didengari dan seboleh mungkin kerajaan cuba meringankan beban yang ditanggung oleh rakyat.

“Sebab itu, sebagai Ketua Wanita UMNO Malaysia, sudah pasti saya memperjuangkan nasib rakyat khususnya kaum wanita. Saya amat berharap, agar lebih banyak bantuan dapat disalurkan kepada golongan wanita yang menjadi tulang belakang kepada sesebuah keluarga khususnya ibu tunggal dan golongan warga emas,” ujar beliau menerusi satu kenyataan media.

Mengulas lebih lanjut jelas Noraini yang juga merupakan Menteri Pengajian Tinggi merangkap Ahli Parlimen Parit Sulong, kerana itulah beliau amat menyokong cadangan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk menaikkan bantuan JKM daripada RM250 kepada RM1000.

“Cadangan itu adalah amat bertepatan sekali. Ia sudah pasti dapat meringankan lagi beban yang ditanggung oleh golongan di bawah B40.

“Selain itu, saya juga berharap kerajaan akan mewujudkan beberapa kursus secara percuma kepada golongan wanita dan memberi peluang perniagaan secara kecil-kecilan agar ia dapat menjana lagi pendapatan seisi rumah.

“Apapun, saya pasti kerajaan lebih cakna dalam merangka pelan strategi bagi membantu rakyat,” ujar beliau lagi. – UMNO ONLINE

Oleh: Azlina Rosdy

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.