Semoga Aura Kemenangan Di PRK Slim Dibawa Ke PRN Sabah – Annuar Musa

TANJUNG MALIM, 30 Ogos – Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Tan Sri Annuar Musa berharap, aura kemenangan BN di Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim akan dapat dibawa ke Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.

Jelas beliau, sudah pasti BN akan menghadapi cabaran yang lebih besar dan dengan siri kemenangan BN menerusi beberapa PRK ini, diharapkan ia dapat menyuntik semangat jentera yang bertugas di PRN itu nanti.

“BN akan menghadapi cabaran yang lebih besar di Sabah untuk membela dan memajukan Sabah.

“Sabah telah lama menjadi mangsa kepada percaturan politik parti Warisan yang diterajui oleh Datuk Seri Shafie Apdal jadi, saya harap semangat kemenangan di Slim dapat dibawa pula ke Sabah,” ujar beliau.

Annuar berkata demikian ketika ditemui media selepas mengikuti perkembangan penjumlahan undi di Pusat Operasi BN di sini malam tadi.

Selain itu, Annuar turut menzahirkan ucapan setinggi-tinggi taniah kepada jentera BN, rakan mesra BN, PAS dan PPBM kerana membantu kemenangan di PRK Slim dengan mendapat majoriti lebih tinggi berbanding pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) yang lalu.

Untuk rekod, BN memenangi kesemua peti undi berbanding tewas enam peti undi semasa PRU-14 yang lalu.

Calon BN Mohd Zaidi Aziz 43, berjaya mempertahankan kerusi DUN Slim dengan majoriti yang besar apabila mengalahkan dua lagi calon bebas dengan majoriti sebanyak 10,945.

Mohd Zaidi mengalahkan Amir Khusyairi yang menggunakan simbol pokok (mewakili parti Pejuang yang belum didaftarkan) serta Santharasekaran yang menggunakan simbol buku pada PRK kawasan berkenaan.

Mohd Zaidi mendapat 13,060 undi, manakala Amir Khusyairi mendapat 2,115 undi dan Santharasekaran mendapat 276 undi.

PRK DUN Slim diadakan berikutan kematian penyandangnya Datuk Mohd Khusairi Abdul Talib pada 15 Julai.

Pada PRU-14 yang lalu, Mohd Khusairi yang mewakili BN menang dengan majoriti 2,183 undi menewaskan calon PPBM yang bertanding atas tiket PKR, Mohd Amran Ibrahim dan calon PAS, Muhammad Zulfadli Zainal. – UMNO ONLINE

Oleh: Azlina Rosdy

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.