PRK Slim Bukti ‘Brand’ BN Masih Laku, Muafakat Nasional Beri Keyakinan Kepada Rakyat

TANJUNG MALIM, 30 Ogos – Kemenangan besar calon Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim semalam menandakan bahawa ‘brand’ BN tidak seperti sangkaan sesetengah pihak yang mengatakan sudah tidak laku tapi membuktikan ‘brand’ BN iaitu dacing tetap tersemat di hati rakyat dan kembali mendapat keyakinan yang baik.

Demikian tegas Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki sebagai maklum balas terhadap kejayaan Mohd Zaidi Aziz mengekalkan kerusi DUN Slim dengan majoriti 10,945 undi selepas memperoleh 13,060 undi, semalam.

“Alhamdulillah, saya bersyukur kepada Allah SWT kerana kita tidak menjangkakan sebegini besar majoritinya terutama dalam konteks PRK yang mana kita takut peratusan keluar mengundi kecil tapi dengan peratusan hampir 70 peratus keluar mengundi ini adalah amat baik.

“Apa yang kita boleh lihat dan pelajari, yang saya rasa bersyukur ialah pertama sekali melihat saluran-saluran anak-anak muda hampir kesemuanya kita menang dengan agak besar majoritinya berbanding dengan PRU-14 dan ini satu petanda yang baik kepada BN bahawa anak-anak muda hari ini kembali memberikan keyakinan, dukungan dan kepercayaan kepada parti yang mampu memberikan khidmat yang terbaik kepada mereka.

“Yang keduanya, kita dapat lihat juga bagaimana kesepakatan dari segi gerak kerja parti-parti politik terutamanya dalam konteks Muafakat Nasional (M), ini adalah kemenangan ketujuh dalam MN walaupun yang bertanding itu adalah BN tetapi saya dapat menyaksikan sendiri bagaimana jentera terutamanya dalam BN, parti-parti kompenannya, Friends of BN, Makkal Sakti, IPF dan juga Kimma serta yang paling penting sekali MN yang sudah semakin mantap dengan PAS.”

Dalam hal ini beliau berkata kerjasama dengan PPBM juga tidak boleh diketepikan.

“Kita juga tidak boleh menolak bahawa ada juga sumbangan dari PPBM yang turut membantu tapi yang paling penting sekali kita nak menzahirkan bahawa rakyat hakikatnya mahu kerjasama ini berterusan terutama dalam konteks yang begitu padu bersama PAS… ini juga membuktikan bahawa rakyat mahukan sebuah kerajaan yang stabil dan mampu memberikan keyakinan kepada semua pihak dengan tunjang dua parti terbesar ini bekerjasama,” katanya.

Beliau turut menekankan bahawa PRK di Slim ini sebagai pemanas badan untuk Pilihan Raya Umum (PRU) yang bakal diadakan bila-bila masa dan juga pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.

“Apa yang penting adalah kita mampu melonjak di PRN Sabah dan di PRU-15, Insya-Allah,” katanya lagi kepada UMNO Online selepas pengumuman rasmi PRK DUN Slim di pusat penjumlahan undi, Majlis Daerah Tanjung Malim, di sini, malam tadi. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.