Mohd Zaidi Santuni Masyarakat Selepas Menang PRK Slim

TANJUNG MALIM, 30 Ogos – Selepas diumumkan sebagai pemenang Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim malam tadi, Mohd Zaidi Aziz memulakan hari ini dengan menyantuni masyarakat sebagai tanda terima kasih atas kepercayaan yang diberikan.

Bermula dengan solat subuh berjemaah di Masjid Slim Village di sini, Mohd Zaidi, 43, kemudian bersarapan bersama ahli jemaah di kedai makan berhampiran, disusuli dengan kunjungan ke Pasar Awam Slim River bagi bertemu peniaga dan menzahirkan penghargaan.

Ketika ditemui pemberita, Mohd Zaidi berkata tugas pertama yang akan dilakukannya sebagai wakil rakyat baharu DUN Slim ialah meneliti permasalahan rakyat yang dibangkitkan kepada beliau sepanjang tempoh berkempen bermula 15 Ogos lepas.

Menurut Pemangku Ketua UMNO Bahagian Tanjung Malim itu, beliau juga akan berbincang dengan Majlis Daerah Tanjung Malim untuk membolehkan pasar pagi yang beroperasi setiap Ahad berhampiran Pasar Awam Slim River kembali dibuka selepas ditutup ketika penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Insya-Allah, kita boleh atasi dengan mencari jalan terbaik supaya kawasan ini meriah seperti dahulu dan bantu agar peniaga tidak terus terjejas,” katanya.

Mohd Zaidi mempertahankan kerusi DUN Slim untuk Barisan Nasional selepas meraih 13,060 undi, mengatasi dua pencabar calon Bebas iaitu peguam Amir Khusyairi Mohamad Tanusi, 38, dan bekas guru S. Santharasekaran, 44, yang masing-masing memperoleh 2,115 undi dan 276 undi. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.