Kemenangan Adalah Amanah Rakyat – Mohd Zaidi

TANJUNG MALIM, 30 Ogos – Calon Barisan Nasional (BN), Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim, Mohd Zaidi Aziz bersyukur dengan kemenangan yang dicapai pada PRK berkenaan hari ini dan menyifatkan kemenangan tersebut merupakan amanah rakyat.

Menurut beliau kemenangan tersebut merupakan satu tanggungjawab dan setinggi penghargaan terima kasih kepada seluruh pengundi dan jentera parti yang telah membantu kemenangan BN.

‘’Alhamdulillah, saya merafakkan setinggi-tinggi kesyukuran kepada Allah SWT atas kemenangan saya pada malam ini dan terima kasih kepada pucuk pimpinan parti juga kepada seluruh jentera parti yang telah memberi keyakinan kepada pengundi untuk mengundi saya serta dapat bekerjasama dalam memastikan mencapai kemenangan,’’ katanya di pusat penjumlahan undi PRK DUN Slim, Majlis Daerah Tanjung Malim, di sini, malam tadi.

Mohd Zaidi seterusnya berkata kesepakatan yang ada di kalangan jentera parti termasuk rakan-rakan BN, Fridens of BN, PAS, PPBM dan sebagainya lagi telah memberi hasil yang memberansangkan.

‘’Terima kasih kepada semua… harapan saya terus kekal muafakat dan mudah-mudahan ianya memberi impak yang besar kepada masyarakat keseluruhannya,’’ ujarnya.

Barisan Nasional (BN) mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim dengan majoriti yang besar apabila calonnya Mohd Zaidi Aziz mengalahkan dua lagi calon bebas dengan majoriti sebanyak 10,945.

Mohd Zaidi mengalahkan Amir Khusyairi yang menggunakan simbol pokok serta Santharasekaran yang menggunakan simbol buku pada Pilihan Raya Kecil (PRK) kawasan berkenaan yang berlangsung pagi tadi.

Keputusan berkenaan diumumkan Pegawai Pengurus Pilihan raya, Shamsul Ridzuan Idris di Dewan Majlis Daerah Tanjung Malim.

Mohd Zaidi mendapat 13,060 undi, manakala Amir Khusyairi mendapat 2,115 undi dan Santharasekaran mendapat 276 undi.

Dengan keputusan itu, BN terus mengekalkan kerusi DUN Slim dan yang pasti tugas dan amanah menanti Mohd Zaidi Aziz sebagai wakil rakyat baru DUN Slim setelah mendapat kepercayaan daripada pengundi.

PRK DUN Slim diadakan berikutan kematian penyandangnya Datuk Mohd Khusairi Abdul Talib pada 15 Julai.

Pada PRU14, Mohd Khusairi yang mewakili BN menang dengan majoriti 2,183 undi menewaskan calon Bersatu yang bertanding atas tiket PKR, Mohd Amran Ibrahim dan calon PAS, Muhammad Zulfadli Zainal

Proses pengundian bermula pada jam 8 pagi tadi dan dilaksanakan menerusi kebiasaan baharu, dengan prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan bagi mengurangkan impak penularan COVID-19.

Sebanyak 12 Pusat Daerah Mengundi (PDM) dengan 54 saluran mengundi dibuka Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) di seluruh kawasan DUN berkenaan. –UMNO Online

Oleh: Azman Abas

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.