BN Sentiasa Relevan, PRK Slim Lonjakan Semangat Untuk Kemenangan PRN Sabah

TANJUNG MALIM, 30 Ogos – Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan menegaskan bahawa kemenangan calon Barisan Nasional (BN) Mohd Zaidi Aziz dalam Plihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim semalam membuktikan Barisan Nasional sentiasa berada di hati rakyat.

“Alhamdulillah, ini adalah siri ketujuh dan amat-amat menarik, kalau orang kata BN tidak relevan maka mereka perlu fikir banyak kali, BN sentiasa berada di hati rakyat dan pengundi. Terima kasih pengundi, terima kasih jentera,” katanya kepada UMNO Online.

Sehubungan itu, beliau berharap agar kemenangan ini akan memberi lonjakan semangat untuk Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah bulan depan.

“Kita berharap ia merupakan satu lonjakan semangat untuk kita memenangi PRN Sabah.
Seawal hari Isnin ini saya bersama Presiden akan turun ke Sabah bersama beberapa rakan-rakan untuk membuat persiapan yang sebaiknya,” katanya lagi yang juga Ahli Parlimen Pontian.

PRK Slim diadakan berikutan kematian penyandangnya Datuk Mohd Khusairi Abdul Talib pada 15 Julai lalu yang menawan kerusi DUN Slim sejak 2004 dan pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) menang dengan majoriti 2,183 undi.

Sejumlah 15,451 atau 68.40 peratus daripada 23,094 pengundi keluar menunaikan hak mereka pada PRK itu, yang merupakan PRK ke-12 selepas PRU14 pada 2018. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.