Undi Mohd Zaidi, Calon Tepat Bawa Suara Rakyat – Ismail Sabri

TANJUNG MALIM, 29 Ogos – Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakub menyeru para pengundi di Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim agar memilih calon Barisan Nasional (BN), Mohd Zaidi Aziz yang tentunya akan dapat bawa suara rakyat kerana ditunjangi kerajaan pusat.

Katanya, Mohd Zaidi adalah calon yang tepat untuk rakyat di sini.

“Saya harap para pengundi akan dapat turun mengundi awal dan menjaga keselamatan, jaga jarak fizikal dan patuhi SOP,” katanya kepada UMNO Online.

Beliau yang juga Menteri Kanan (Keselamatan) berkata demikian ketika meninjau tempat mengundi di SK Slim River, di sini, hari ini.

PRK DUN Slim menyaksikan pertandingan tiga penjuru selain Mohd Zaidi dengan dua calon Bebas iaitu peguam, Amir Khusyairi Mohamad Tanusi, mewakili Parti Pejuang Tanahair (Pejuang) yang masih dalam proses pendaftaran serta bekas guru, S. Santharasekaran.

Kerusi DUN Slim kosong berikutan kematian Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Slim selama empat penggal, Datuk Mohd Khusairi Abdul Talib daripada BN yang meninggal dunia akibat serangan sakit jantung pada 15 Julai.

Sejumlah 96.25 peratus daripada 267 pengundi awal telah menunaikan hak mereka pada Selasa lalu. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.