PRK Slim : Keputusan Tidak Rasmi BN Menang Dengan Majoriti Besar

TANJUNG MALIM, 29 Ogos – Barisan Nasional (BN) mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim dengan majoriti yang besar apabila calonnya Mohd Zaidi Aziz mengalahkan dua lagi calon bebas dengan majoriti sebanyak 10,897.

Keputusan tidak rasmi daripada Command Center BN menunjukkan Zaidi mengalahkan Amir Khusyairi yang menggunakan simbol pokok serta Santharasekaran yang menggunakan simbol buku pada Pilihan Raya Kecil (PRK) kawasan berkenaan yang berlangsung pagi tadi.

Dengan keputusan itu, BN terus mengekalkan kerusi DUN Slim dan yang pasti tugas dan amanah menanti Mohd Zaidi Aziz sebagai wakil rakyat baru DUN Slim setelah mendapat kepercayaan daripada pengundi.

PRK DUN Slim diadakan berikutan kematian penyandangnya Datuk Mohd Khusairi Abdul Talib pada 15 Julai.

Pada PRU14, Mohd Khusairi yang mewakili BN menang dengan majoriti 2,183 undi menewaskan calon Bersatu yang bertanding atas tiket PKR, Mohd Amran Ibrahim dan calon PAS, Muhammad Zulfadli Zainal

Proses pengundian bermula pada jam 8 pagi tadi dan dilaksanakan menerusi kebiasaan baharu, dengan prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan bagi mengurangkan impak penularan COVID-19.

Sebanyak 12 Pusat Daerah Mengundi (PDM) dengan 54 saluran mengundi dibuka Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) di seluruh kawasan DUN berkenaan. – UMNO Online

Leave a Reply

Your email address will not be published.

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.