PRK Slim: Ahmad Zahid Harap Kemenangan BN Berterusan Ke PRN Sabah

TANJUNG MALIM, 29 April – Pengerusi Barisan Nasional (BN) merangkap Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berharap agar kemenangan berterusan BN dalam siri Pilihan Raya Kecil (PRK) diterjemahkan di Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah yang bakal berlansung pada bulan September nanti.

Jelas beliau, kemenangan BN pada PRK Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim ini juga membuktikan bahawa rakyat sebenarnya rindu kepada pentadbiran BN/UMNO apatah lagi kini bersama dengan PAS yang membentuk Muafakat Nasional (MN).

“Ini (kemenangan BN) menunjukkan bahawa kerinduan pengundi-pengundi kepada BN telah terubat dan inilah yang kita akan terjemahkan nanti di PRN Sabah dan juga Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) nanti.

“Jika diadakan, insya-Allah kita tidak riak jauh juga takbur kerana kita mahu terus menggamit sokongan rakyat yang amat rindukan BN ini… insya-Allah kita akan lakukan yang terbaik,” ujar beliau.

Ahmad Zahid berkata demikian ketika ditemui media selepas pengumuman kemenangan Mohd Zaidi Aziz, di Dewan Seri Tanjong, Majlis Daerah Tanjung Malim di sini, hari ini.

Beliau juga melahirkan penghargaan dan berterima kasih kepada semua para pengundi serta jentera yang telah menzahirkan kemenangan di kesemua 13 Pusat daerah Mengundi (PDM) yang enam daripadanya pernah tewas pada PRU-14 lalu.

Selain itu, Ahmad Zahid turut berpesan kepada Mohd Zaidi supaya menjadi seorang wakil rakyat yang dapat memenuhi permintaan masyarakat di kawasan itu dengan memberikan perkhidmatan yang terbaik sebagaimana dilakukan oleh Allahyarham Datuk Mohd Khusairi Abdul Talib.

PRK DUN Slim hari ini menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara calon BN, Mohd Zaidi dengan dua calon bebas iaitu peguam, Amir Khusyairi Mohamad Tanusi, mewakili Parti Pejuang Tanahair (Pejuang) yang masih dalam proses pendaftaran serta bekas guru, S. Santharasekaran.

Kerusi DUN Slim kosong berikutan kematian Ahli DUN Slim selama empat penggal, Datuk Mohd Khusairi Abdul Talib daripada BN yang meninggal dunia akibat serangan sakit jantung pada 15 Julai.

Pada PRU-14, beliau mempertahankan kerusi dengan majoriti 2,183 undi menewaskan calon PPBM yang bertanding atas tiket PKR, Mohd Amran Ibrahim, dan calon PAS, Muhammad Zulfadli Zainal.

PRK DUN Slim turut mencatat sejarah sebagai pilihan raya kedua berlangsung dalam normal baharu susulan pandemik COVID-19 selepas PRK DUN Chini bulan lalu. – UMNO ONLINE

Oleh: Azlina Rosdy

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.