Undilah BN… Jangan Jadi ‘Bungul Bebanar’ – Ahmad Maslan

TANJUNG MALIM, 28 Ogos – Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan menyeru para pengundi yang akan menunaikan tanggungjawabnya dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Slim, esok akan memilih calon Barisan Nasional (BN) serta tidak melakukan perkara tidak sepatutnya sebagaimana Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) hinggakan kerajaan yang dibina lebih 60 tahun musnah.

Katanya, pada PRU-14 yang selalu, sepatutnya banyak kerusi yang boleh dimenangi oleh UMNO dan PAS tetapi kerana ‘bungul bebanar’ (bodoh sangat) akhirnya bukan sahaja kehilangan kerusi tetapi juga negara musanah

“Kekalahan pada PRU-14 juga menyaksikan rakyat yang pada mulanya ‘bergembira’ mula menderita di bawah pentadbiran Pakatan Harapan (PH) selama 22 bulan.

“Sepatutnya, banyak kerusi kita tidak kalah tapi kita kalah… kalau dicampur undi UMNO dan PAS kita boleh menang. Contoh, Mujahid (Yusof Rawa) memang di Parit Buntar tapi kalau campur undi UMNO dan PAS Mujahid akan kalah dengan sembilan ribu majoriti.

“Jadi, esok, kalau boleh saya mahu melihat lapan ribu undi UMNO dicampur empat ribu undi PAS yang akan menjadikan kita menang enam ribu majoriti di Pilihan Raya Kecil (PRK) Slim esok. Inilah formula Muafakat Nasional,” ujar beliau.

Ahmad Maslan berkata demikian ketika berucap dalam program Muafakat yang turut disertai oleh Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Haji Hashim Jasin di Dewan Serbaguna Felda Gunung Besout 2, hari ini bersempena kempen PRK Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim.

Tambah beliau yang juga Ahli Parlimen Pontian, perpaduan yang telah diperolehi antara UMNO dan PAS setelah lebih enam puluh tahun berbalah, harus dijaga sebaik mungkin agar tragedi PRU-14 tidak berulang lagi.

“Malam keputusan PRU-14, kita terkejut apabila BN kalah, pada malam itu menyaksikan 121 kerusi dimenangi oleh PH. Kita juga menyaksikan Ahli Parlimen bukan Islam lebih ramai daripada Ahli Parlimen Islam dalam sebuah negara Islam.

“Jadi, sekarang ini kita kena berpegang teguh… jangan berpecah lagi kerana kalau kita berpecah kita akan hilang dari semua segi… kalua dari segi ekonomi dan dari segi politik. Kenapa kita mahu kuasa politik? Kerana ia boleh bantu perkembangan Agama, bangsa dan negara,” ujar beliau lagi. – UMNO ONLINE

Oleh: Azlina Rosdy

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.