Rakyat Tak Lupa Jasa, Sumbangan Besar BN Dan Allahyarham Datuk Khusairi

TANJUNG MALIM, 28 Ogos – Terlalu banyak jasa Barisan Nasional (BN) dan Allahyarham Datuk Mohd Khusairi Abdul Talib dalam memberi khidmat kepada rakyat di Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim, demikian kata-kata dari penduduk setempat yang ditemui.

Menurut Setiausaha Masjid Jamek, Kampung Kuala Slim, Shukeri Razi Mat Said, 50, antara jasa terbesar Khusairi adalah pembinaan masjid yang besar nilainya dan kerana itulah semua masyarakat terasa kehilangan tokoh yang berkarisma itu.

“Inilah projek yang paling besar sekali jasa Allahyarham kepada penduduk dan rakyat di kampung ini. Sumbangan yang diberikan amat besar terutama sekali pembinaan Masjid Jamek Kampung Slim dengan kos pembinaan yang dipohon sebanyak RM3.3 juta keseluruhannya.

“Tidak ada lagi jalan tanah merah, semuanya berturap, sistem perparitan dan sebagainya. Di atas jasa Allahyarham juga kampung ini pada tahun 2017 memasuki pertandingan Anugerah Desa Perdana serta memasuki peringkat kebangsaan dan telah mendapat tempat ketiga dalam segi kampung tradisional.

“Allahyarham merancang awal untuk membuat korban di masjid ini dan memberi sumbangan sebanyak lima ekor lembu. Itulah sumbangan yang terakhir daripada beliau untuk rakyat di kampung Slim ini dan saya sendiri yang melaksanakan penyembelihan lembu tersebut. Saya merasa sedih kerana pada hari program beliau telah tiada, walau bagaimanapun ini kuasa Allah,” katanya ketika ditemui UMNO Online.

Bagi Imam Besar Masjid Jamek, Ustaz Mohd Nor Akbar Sahabudin, 41, cukup teruja apabila masjid tersebut dimanfaatkan sepenuhnya oleh penduduk setempat dengan pelbagai program diimarahkan.

“Kalau kita lihat kapasiti Masjid Jamek ini boleh memuatkan lebih seribu jemaah. Dengan fizikal yang luas, ada bilik mesyuarat, balai lintang, bilik bacaan, seminar dan menghidupkan masjid ini dengan bermacam-macam lagi.

“Ramai masyarakat khususnya penduduk kampung ini dan juga masyarakat dari Besout singgah di sini untuk solat malah juga solat hari raya juga ramai yang solat di masjid ini.

“Terima kasih atas jasa arwah Khusairi dan juga masyarakat kampung kerana mencari dana untuk membina dan menyiapkan juga masjid ini walaupun kita dengar tempoh melebihi dua tahun,” ujarnya.

Bagi penduduk di Kuala Slim, Mahsyar Ghazali, pesara, 59, berkata kerajaan BN adalah kerajaan yang paling ideal dan banyak berjasa selama 60 tahun memerintah, tidak seperti kerajaan yang menggantikannya mengabaikan rakyat.

“Terkejutnya apabila Pilihan Raya Umum (PRU) -14 tidak diperintah oleh BN bermakna banyak kekecewaan yang telah berlaku sebab atas dasar ingin melihat kerajaan baru membuat perubahan kemajuan pada negara.

“Tapi…malangnya kecewa, memang kecewa sungguh apa yang kesinambungan pada pimpinan BN tidak dapat dibuat dengan cara profesional dan banyak benda-benda yang mengabaikan sehingga rakyat merasakan kecewa dan ingin mengubah balik untuk mendapatkan kerajaan yang baik dan mesra rakyat,” jelasnya lagi.

Bagi Mazianah Abdullah, 52, berkata Khusairi amat memberi sokongan dan galakan kepada kaum wanita dalam melaksanakan pelbagai program.

“Kami kalau buat aktiviti apa-apa akan dapat ‘support’ (sokongan) sepenuhnya dari Allahyarham dan memberi sumbangan. Kami mohon kesinambungan Arwah ini kalau boleh biarlah orangnya seperti apa yang arwah buat dan kalau boleh kita nak yang lebih baik yang pernah buat kepada kami.

“Kalau kaum-kaum ibu ada program pasti Allahyarham Khusairi akan singgah, beliau seorang yang mesra dan kami merasa kehilangannya. Di bawah kepimpinan Allahyarham, ramai ibu-ibu tunggal telah mendapat bantuan dan juga kaum wanita tidak pernah ketinggalan dan sentiasa membantu ,” kata anak jati Kampung Slim itu lagi.

Esok, 29 Ogos merupakan hari pengundian bagi PRK DUN Slim.

BN menampilkan calonnnya Mohd Zaidi Aziz yang akan ditentang dua lagi calon dari Bebas. – UMNO Online

Oleh: Amin Adnan

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.