Muafakat Nasional Mempunyai Makna Dan Signifikan Yang Tersendiri Di Slim – Ahmad Zahid

TANJUNG MALIM, 28 Ogos – Muafakat Nasional pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim bukan sahaja memberi makna malah mempunyai signifikannya yang tersendiri  dan seluruh jentera parti perlu membuktikannya pada Sabtu ini dengan kemenangan yang besar kepada calon Barisan Nasional (BN) Mohd Zaidi Aziz.

Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid  Hamidi berkata kesepakatan antara UMNO dan PAS terbukti daripada enam PRK yang lalu dan PRK DUN Chini adalah kemenangan yang keenam dan PPBM pada ketika itu telah mula berjinak-jinak untuk membantu calon BN.

“Ertinya dua elemen ‘bilhikmah wabilhasanah’ ini cukup penting. Jika sebelum ini pada Pilihan Raya Umum (PRU) yang lalu BN, PAS dan PPBM yang meletakkan calon mempunyai pengundi mereka yang tersendiri apabila Allahyarham Datuk Khusairi memperoleh 8,000 undi, manakala PAS mendapat 4,000 undi dan PPBM pula 6,000 undi.

“Saya tidak tahu berapa parti PPBM ini akan membantu calon BN…saya tidak tahu berapa. Kalau betul-betul PPBM kuat di Tanjung Malim, di Slim ini sila berikan undi 6,000 itu kepada saudara Zaidi,” katanya pada ceramah di Dewan Taman Permai, Pusat Daerah Mengundi (PDM) Pekan Lama Sungkai, di sini, malam tadi.

Ceramah berkenaan turut menampilkan Timbalan Pesuruhjaya PAS Perak, Ust Misbahul Munir Masduki serta Naib Presiden PPBM, Datuk Mohd Rafiq Naizamohideen.

Tambah Ahmad Zahid dalam politik tidak ada kawan yang kekal malahan tidak ada juga musuh yang kekal dan jika digunakan dua elemen iaitu ‘hikmah dan ‘hasanah’ ianya diyakini akan memberi manfaat kepada semua pihak

“Apa hikmah yang berlaku…di dalam politik tidak ada kawan yang kekal, tidak ada musuh yang kekal, tetapi jika kita menggunakan dua elemen ‘hikmah’ dan ‘hasanah’ tadi saya amat yakin bahawa apabila penyatuan ummah dilakukan bukan sahaja Islam kuat tetapi bukan Islam juga akan turut terjaga kerana Islam itu indah dan Islam itu menjaga agama lain supaya agama lain juga turut dihormati.

“Apabila UMNO dan PAS mula memperlihatkan rasa kekitaan sesama kita tentunya PPBM merasakan bahawa ini satu contoh yang baik. Walaupun kita lihat akar umbi dan netizen mempunyai pandangan yang berbeda-beda tetapi yakinlah bangsa lain, agama lain akan menghormati penyatuan di kalangan kita kerana di dalam sejarah Parti Perikatan dan kemudiannya ditubuhkan BN, tidak ada bangsa dan agama lain di negara ini yang dizalimi atau dianiayai,” ujarnya.

Jelasnya lagi itulah yang ada pada kesepakatan di dalam Muafakat Nasional dan yakin di dalam Piagam Muafakat Nasional semua bangsa dan semua agama akan turut disertakan dan akan dijaga demi keharmonian negara serta tiada kekhuatiran dalam perkara berkenaan.

Ahmad Zahid turut mengimbau bagaimana ada pemimpin yang hari ini menubuhkan parti baharu pernah mengungkapkan bahawa tidak ada keperluan untuk menubuhkan parti yang banyak.

‘’Berapa kali serpihan ini…dulu pemimpin parti itu mengatakan orang Melayu berpecah kepada enam parti. Itulah sebabnya UMNO dan BN kalah…maka langkah yang kita ambil UMNO berbaik dengan PAS… tetapi apabila PH jatuh dan bukannya UMNO serta PAS yang jatuhkan…mereka jatuhkan diri sendiri. Jangan marah UMNO dengan PAS.

‘’Maka beliau menubuhkan parti orang Melayu yang ketujuh walaupun sebelum itu mengatakan  bahawa orang Melayu mesti bersatu dan jangan tubuhkan parti banyak-banyak tetapi apabila tertendang daripada Bersatu tubuhkan parti lain. Itulah calon yang diletakkan pada PRK Slim ini.

‘’Maka jentera parti yang ada di sini saya ingin ingatkan diri saya dan seluruh pengundi di Slim ini…cukuplah untuk kita berpecah dan buktikan di PRK Slim ini  bahawa calon UMNO yang membawa lambang BN yang didokong oleh PAS, didokong oleh PPBM akan menang dengan dengan bergaya. Kita bukan mahu riak jauh dari sikap takabbur kerana kita mahu memperlihatkan bahawa Muafakat Nasional adalah jawapan terbaik untuk mewujudkan perpaduan di kalangan kita,’’ ujarnya.- UMNO Online

Oleh: Azman Abas

Leave a Reply

Your email address will not be published.

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.