MN Senario Politik Masa Hadapan, Bukan Kerjasama Retorik – Saarani

TANJUNG MALIM, 28 Ogos – Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Perak merangkap Pengarah Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Slim, Datuk Saarani Mohamad menegaskan bahawa Muafakat Nasional (MN) adalah senario politik masa hadapan yang ditawarkan untuk seluruh rakyat Malaysia melibatkan semua bangsa dan bukan hanya pada UMNO dan PAS sahaja.

Katanya, MN adalah tawaran baharu kepada rakyat seluruh negara dan bukan ancaman kepada mana-mana kaum pun.

“MN bukan untuk aniaya sesiapa tetapi ini adalah satu tawaran ke arah penyatuan dan pembentukan sebuah negara baharu selepas melalui pentadbiran yang perit di bawah kerajaan Pakatan Harapan (PH) sebelum ini,” katanya.

Kerana itu katanya, kemenangan Barisan Nasional (BN) dalam PRK ini amat penting sebagai satu lagi bukti bahawa kerjasama UMNO dan PAS melalui MN bukan retorik.

“Dengan MN telah terbukti bahawa kasih sayang yang wujud antara UMNO dan PAS telah mewujudkan semangat saling menyokong antara satu sama lain yang telah memberi kemenangan dalam siri PRK sebelum ini.

“Maka tidak mustahil untuk di PRK Slim ini juga, dengan semangat dan kerjasama yang telah ditunjukkan sepanjang kempen ini, insya-Allah saya yakin BN akan mampu mencapai kemenangan dengan majoriti yang bertambah melibatkan undi BN, dari PAS dan dari kawan-kawan yang dahulunya tertipu dengan janji-janji PH.”

Berkaitan PRK Slim, katanya tentunya untuk memilih wakil rakyat mahukan yang dikenali oleh rakyat sendiri dan BN menyajikan calon yang tepat iaitu Mohd Zaidi Aziz.

“Marilah kita sama-sama berdoa agar para pengundi di DUN Slim ini pada hari Sabtu ini akan memilih calon nombor 2, iaitu Mohd Zaidi yang bersedia untuk berkhidmat kepada rakyat,” katanya.

Beliau bercakap demikian dalam ceramah Muafakat Nasional ‘Kita Kekal Muafakat’ bersama Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan dan Timbalan Presiden PAS Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man yang diadakan di Dewan Semai Bakti, Felda Trolak Selatan, di sini, malam tadi. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.