Menangkan BN… Jentera Siap Sedia Hari Mengundi Esok

TANJUNG MALIM, 28 Ogos – Esok yang merupakan hari pengundian untuk seluruh pengundi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Malim sudah pasti akan menjadi tumpuan dan walaupun Barisan Nasional (BN) berdepan dengan calon bebas namun gerak kerja tetap dilipatgandakan.

Bagi Wanita UMNO yang terkenal dengan jentera JR, mereka sudah bersedia dengan fizikal dan mental untuk menghadapi hari esok yang merupakan hari mengundi.

Setiausaha Wanita UMNO, Datuk Rosni Sohar berkata tugas yang dilaksanakan oleh JR merupakan satu pengorbanan apabila sanggup meninggalkan keluarga dalam usaha membantu kemenangan BN bersama dengan jentera pelbagai peringkat yang lain.

“Pengorbanan JR sangat besar apabila sanggup meninggalkan rumahtangga, suami dan anak-anak… apa pun kerja yang mereka buat daripada awal lagi saya yakin dan percaya bukan setakat semangat malah strategi yang diatur cukup berkesan termasuk di dalam beberapa PRK yang lalu dan insya-Allah kita akan mendapat kemenangan dengan majoriti berganda di PRK Slim ini.

“Daripada satu aspek lain, Wanita adalah jentera yang sanggup berjalan kaki dalam mana-mana PRK dan ini bukan kita bercakap sahaja tetapi ianya adalah realiti dan kita sudah ‘up-grade’ segala gerak kerja serta sistem kita dan insya-Allah selepas ini kita akan sambung membantu BN Sabah dan untuk DUN ini saya percaya akan mendapat kejayaan yang lebih cemerlang,” katanya kepada UMNO Online.

Kata beliau lagi pengorbanan Wanita hari ini yang bekerja demi parti untuk kepentingan bersama adalah satu semangat yang amat membanggakan.

“Kita bekerja bukan kerana apa… tidak ada kadar upah tetapi apa yang penting untuk membantu negara kita dan kepentingan anak cucu kita.

“Inilah perjuangan jentera parti yang bekerja tidak mengira masa dan paling penting pada waktu ini Wanita mendapat izin daripada suami masing-masing. Dan terima kasih saya kepada suami JR yang mengizinkan JR bertugas dan bersama-sama dengan kita. Insya-Allah kita akan dapat sama-sama menzahirkan kemenangan,” katanya.

Sementara itu Ketua Wanita UMNO Perak, Datuk Dr Wan Norashikin Wan Noordin berkata jentera Wanita sudah pasti akan bekerja sehingga tamatnya waktu mengundi esok.

“Kepada jentera teruskan gerak kerja keras kita sehinga selesai proses pengundian dan terima kasih kepada jentera wanita yang sungguh komited serta tabah dan mempunyai semangat yang cukup tinggi dan diharapkan dapat kekalkan momentum ini,” ujarnya.

Beliau pada masa yang sama menyeru pengundi agar membuat pilihan yang baik dan tepat dengan memikirkan masa depan negara dan anak cucu masing-masing.

“Insya-Allah BN yang calonnya Mohd Zaidi Aziz adalah calon terbaik dan insya-Allah mampu berkhidmat untuk rakyat,” tambahnya.

Manakala Ketua Pemuda UMNO Perak, Arif Majid sependapat bahawa masing-masing memainkan peranan tersendiri malah turut menyatakan bahawa komitmen pergerakan itu sama sepertimana jentera yang lain akan bertugas sehingga tamat tempoh mengundi.

Apa yang penting ujar beliau adalah mengeluarkan seramai mungkin selain mengenalpasti pengundi muda khususnya untuk dibawa keluar.

“Kita telah berkampung dan akan ‘all out’ serta memastikan pengundi muda keluar mengundi seawal yang boleh dan kita telah buat kajian sikap serta merayu pengundi luar khususnya untuk balik mengundi.

“Manakala jentera kita juga sudah bersedia di PDM-PDM dan pagi esok kita akan bertugas seperti biasa dan Unit Sabil akan turut sama bertugas menjaga keselamatan dan sebagainya lagi,” tambahnya lagi.- UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.