Jangan Dengar Adu Domba, Gelombang MN Digeruni Lawan – Tok Mat

TANJUNG MALIM, 28 Ogos – Timbalan Presiden UMNO Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, penyatuan UMNO dan PAS dalam Muafakat Nasional (MN) bukanlah atas dasar politik semata-mata tetapi ia adalah atas dasar kejujuran dan keikhlasan.

Ujar beliau, kerana itulah segala perbalahan yang berlaku bertahun lamanya dapat dilupakan dan diurus dengan baik sehinggakan gelombang MN digeruni oleh pihak lawan.

“Kita ikhlas dalam penyatuan ini, yang sudah itu sudahlah… cukuplah. Disebabkan perbalahan yang berlaku akhirnya kita menang sorak kampung tergadai. Disebabkan perbalahan, negara ini diurus orang yang tidak ada simpati kepada kita dan akhirnya atas kesedaran itu, kesefahaman ini (MN) terbina.

”Kita nak berbaik bukan hanya kerana asas politik tapi asas ukhuwah. Bila atas asas ukhuwah, kita perlu lupakan yang berlaku. Cukuplah 22 bulan ditadbir oleh Pakatan Harapan (PH), kemudaratannya amat besar khususnya kepada orang Melayu dan umat Islam. Hati kita terguris hari-hari, amat pedih, ada sahaja perbuatan yang dibuat menyentuh orang Melayu dan umat Islam, Nabi kita dihina dan macam-macam lagi,” ujar beliau.

Mohamad berkata demikian dalam ceramah MN ‘Kita Kekal Muafakat’ bersama Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man yang diadakan di Dewan Semai Bakti, Felda Trolak Selatan malam tadi.

Mengulas lebih lanjut beliau berkata, walaupun ada pihak yang memandang remeh ketika UMNO dan PAS menandatangani piagam bersama namun perlu diingat, seluruh dunia terutama negara timur tengah memandang tinggi perkara ini.

“Mereka memandang tinggi kerana mereka tidak berjaya bersatu… mereka sedang rancak berperang dan berbalah walaupun satu bangsa, satu bahasa dan satu agama, mereka tidak boleh duduk bersama tapi kita bersyukur boleh mencapai kata sepakat bersama.

“Banyak negeri saya pergi, pakcik makcik melahirkan rasa gembira sebab mereka tidak pernah rasa kegembiraan seperti ini di kampung. Dulu di kampung dan masjid terbelah dua tapi hari ini disebabkan asas MN, majlis di kampung dan masjid penuh orang datang.

“Jadi, marilah kita bersama-sama menjaga dan suburkan muafakat ini. Muafakat ini akan terus berbuah untuk kita nikmati buahnya. Sebab itu ‘pokok’ ini perlu sama-sama kita jaga, bajai, sirami dan suburkan agar ia akan terus subur menjadi pokok yang rendang,” ujar beliau lagi.

Justeru, beliau menyeru agar jangan sesekali ahli UMNO mahupun PAS mendengar kata-kata yang mahu melihat ikatan ukhuwah ini rosak.

“Mereka gelisah kerana mereka tahu jika kita bersatu mereka tidak akan ada peluang untuk mengambil alih petadbiran negara. Mereka berjaya pada PRU-14 (Pilihan Raya Umum Ke-14) sebab kita berpecah-pecah dan akhirnya orang Melayu hilang kuasa mentadbir negara sendiri. Hari ini kita ambil iktibar dari perpecahan itu.

“Inilah yang menghantui PH… maka, jangan kita dengar cakap-cakap adu domba yang nak pecah-belahkan kita,” tegas beliau lagi. – UMNO ONLINE

Oleh: Azlina Rosdy

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.