Filipina Jangan Cipta Provokasi, Sabah Milik Malaysia, Tegas Bung

KUALA LUMPUR, 28 Ogos – Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah Datuk Seri Bung Moktar Radin menasihati Presiden Filipina Rodrigo Duterte jangan melakukan provokasi berhubung isu peletakan peta Sabah dalam pasport republik berkenaan.

“’My dear president Duterte, please stop provoking Malaysian by locating Sabah map in the Phillipines passport’ (Wahai Presiden Duterte, sila hentikan provokasi terhadap rakyat Malaysia dengan meletakkan peta Sabah di dalam passport Filipina),” twit Ketua UMNO Sabah itu di Twitter.

Tegas Bung, UMNO dan Barisan Nasional tetap memperjuangkan autonomi Sabah dan kerajaan Filipina tiada kuasa untuk memiliki Negeri Sabah.

“’State of Sabah has the soveriegnty and will defend Sabah as part of Malaysia and the Phillipines has no legal right to conquer Sabah as their 14 state’ (Negeri Sabah mempunyai kedaulatan dan (kami) akan mempertahankan Sabah sebagai sebahagian daripada Malaysia dan Filipina tidak mempunyai hak dari segi undang-undang untuk menakluki Sabah sebagai 14 wilayah mereka),” ciapnya lagi.

Bung yang juga Ahli Parlimen Kinabatangan memberi reaksi demikian sebagaimana laporan media mengenai keputusan Jawatankuasa Hal Ehwal Luar Negara Filipina yang membenarkan cetakan peta Filipina meliputi kawasan 320 kilometer Zon Ekonomi Eksklusif (EEZ) dan Sabah di dalam pasport negara itu.

Sebelum ini, Menteri Luar, Datuk Seri Hishammuddin Hussein ketika sidang Parlimen pada 5 Ogos lalu dengan tegas berkata Malaysia tidak akan layan apatah lagi penuhi tuntutan mana-mana pihak ke atas Sabah.

“Pendirian saya dan kerajaan khususnya Wisma Putra tegas, Sabah milik Malaysia dan akan tetap menjadi sebahagian daripada Malaysia sampai bila-bila,” katanya.

Untuk rekod, Malaysia juga menegaskan tidak akan teragak-agak mengambil tindakan tegas susulan keputusan Filipina meluluskan rang undang-undang (RUU) baharu itu. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.