PRN Sabah: Yakini Keputusan Parti, Fokus Kemenangan BN – Andi

KUALA LUMPUR, 27 Ogos – UMNO Sabah telah diberikan autonomi dan Pengerusi Perhubungan UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Mokhtar Radin telah diberikan kuasa penuh dalam pemilihan calon berpotensi dan berkelayakan yang akan bertanding di kawasan masing-masing, ujar Ketua UMNO Kalabakan Andi Muhammad Suryady Bandy.

Katanya, tanggungjawab ahli parti terutama UMNO Kalabakan adalah untuk terus menyokong dan yakin kepada keputusan yang telah diputuskan oleh pemimpin.

“Kita merupakan ahli parti keramat UMNO yang telah lama berjuang demi agama bangsa dan tanah air. Di sini saya mengajak kepada semua agar tetap bekerjasama sepenuhnya dan bertungkus lumus dalam pilihan raya negeri yang akan tiba tidak lama lagi untuk kita kembali mendapatkan tampuk pemerintahan negeri Sabah setelah dua tahun di bawah pemerintahan Parti Warisan yang gagal.

“Saya mengerti bahawa bahang pilihan raya negeri semakin hebat terasa dan tidak hairan perang saraf yang akan menimbulkan provokasi dan kekeliruan dari mana-mana pihak.

“Di sini saya berpesan kepada semua agar bertenang dan jangan mudah percaya dengan khabar angin yang beredar mengenai calon-calon yang akan bertanding,” katanya lagi dalam satu kenyataan di Facebook.

Justeru, Andi yang juga Exco Pemuda UMNO Malaysia berharap semua pihak menunggu pengumuman rasmi dari Pengerusi Perhubungan UMNO Sabah dan tetap satu hati dan bekerjasama untuk parti walau siapa pun calon yang akan bertanding.

“Kerana ini bukan perjuangan individu tetapi perjuangan secara kolektif demi keharmonian agama, kemakmuran bangsa dan kesejahteraan tanah air kita yang tercinta,” jelasnya lagi. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.