PRK Slim Istimewa Berdasarkan Kemajmukan Komposisi Pengundi – Ahmad Maslan

TANJUNG MALIM, 27 Ogos – Setiausaha Agung UMNO (SUA), Datuk Seri Ahmad Maslan berkata Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim adalah satu PRK yang cukup istimewa dan unik.

Katanya, komposisi di dalam Slim ini mencerminkan keistimewaan pelbagai kaum dan etnik yang telah dibina sekian lama oleh Barisan Nasional (BN).

“Kita melihat Slim ini adalah satu PRK yang istimewa, ini disebabkan kerana komposisi penduduk dan juga pengundi. Kita ada 25 peratus bukan Melayu, 75 peratus Melayu.

“Daripada 25 peratus bukan Melayu itu, 13 peratus pengundi India, 12 peratus pengundi Cina dan juga ada orang asli, ada kampung tradisi dan juga kawasan felda.

“Jadi…ia melihatkan satu komposisi yang menarik untuk kita mengetahui kesannya nanti,” katanya kepada UMNO Online baru-baru ini, di sini.

Tambah Ahmad lagi, ini jelas memperlihatkan semua rakyat Malaysia diwakili dalam DUN Slim. 

Begitu juga, Ahli Parlimen Pontian itu cukup yakin akan memenangi PRK tersebut.

“Saya ada keyakinan yang tinggi BN akan memenangi dalam PRK ini. Saya telah pergi ke banyak tempat, kawasan Felda, kampung tradisi dan juga kawasan ladang termasuk kawasan yang jauh dan dekat.

“Keyakinan ini dapat disimpulkan kepada tiga tahap iaitu melihat kepada tahap sokongan kepada masyarakat… kegigihan jentera dan melihat kepada poster dan bendera.

“Insya-Allah… kita boleh menang, cuma saya harap pengundi-pengundi luar darpada kawasan Slim yang berhampiran sama ada di Kuala Lumpur, Ipoh atau di Pulau Pinang baliklah untuk kita sama-sama menunaikan tanggungjawab kita,” ujarnya – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.