PEMBELA Semarakkan Kempen BN, Enggan Warga Felda Tertipu – Anuar Manap

TANJUNG MALIM, 27 Ogos – Pembela Bangsa Felda (PEMBELA) menyemarakkan kempen saat-saat akhir Barisan Nasional (BN) dengan memberikan tumpuan di kawasan Felda pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim Sabtu ini dalam usaha membantu kemenangan calon BN, Mohd Zaidi Aziz.

Pengerusi PEMBELA, Anuar Abd Manap berkata gerakan kempen mahupun penerangan mengenai soal-soal yang berkaitan dengan warga Felda bukan sahaja dibangkitkan pada PRK Slim malah telah digerakkan dalam semua PRK bermula di Parlimen Cameron Highlands.

‘’Kita telah memulakan program mendekati warga Felda khususnya pada tempoh PRK iaitu seawal PRK di Cameron Highland lagi dan pada masa itu kita bergerak di Felda Sungai Koyan 1, 2 dan 3 menerusi pelbagai program seperti ceramah dalam skala yang lebih kecil.

“Pada PRK-PRK lain pun terlibat tetapi oleh kerana ketiadaan kawasan Felda kecuali di Chini pada PRK yang lepas memang ‘totally’ kawasan Felda, kita beri tumpuan berkempen di sana sepertimana program hari ini menerusi Forum.

‘’Sebelum ini kita telah pun turun di Slim menerusi sembang santai serta pelbagai program lain dan hari ini kita di Felda Besout 1 bersama Noran Zamini atau dikenali ‘Mak Long PTPTN’. Fokus kami memberi penerangan berkaitan isu-isu Felda. Kalau kita lihat  peristiwa 22 bulan yang lepas contoh yang paling menarik dan memang peneroka boleh lihat ialah janji 50 peratus hutang Felda yang tidak selesai. Kemudian harga sawit pun agak teruk masa zaman PH (Pakatan Harapan) memerintah dahulu,’’ ujarnya.

Terdahulu beliau bersama Noran Zamini Jamaluddin atau dikenali Mak Long PTPTN pada program Moh Kita Pakat Dengar Celoteh Mak Long di Dataran Felda Besout 1, di sini, Rabu malam.

Anuar seterusnya menambah warga Felda khususnya sudah pasti cukup bijak membuat penilaian mereka sebelum membuang undi Sabtu ini dan apa yang jelas kemenangan Mohd Zaidi akan memberi kelebihan yang cukup bermakna kepada warga DUN Slim itu sendiri.

‘’Arwah Datuk Khusairi (Mohd Khusairi Abdul Talib) sebelum ini telah pun melaksanakan tugasnya dengan baik untuk menjaga pengundi dan rakyat di kawasan DUN Slim ini dan seharusnyalah pengundi di sini memilih semula calon daripada BN, Mohd Zaidi Aziz dan kita pun tahu latar belakang dengan ciri-ciri kepimpinan yang beliau ada serta perwatakan yang kita tahu mudah mesra rakyat. Jadi pilihan yang tepat sudah tentu calon BN,’’ ujarnya. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.