Ulang Tahun Ke-71 Pemuda UMNO: Teruskan Kebangkitan, Teguhkan Muafakat – Dr Asyraf

KUALA LUMPUR, 26 Ogos – Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki menyeru ahli-ahli Pemuda agar terus konsisten dalam perjuangan memperkasakan parti.

Dalam satu nukilannya sempena Hari Ulang Tahun Pemuda UMNO yang Ke-71 yang jatuh pada hari ini, Dr Asyraf juga menekankan betapa pentingnya perpaduan diperkukuhkan serta muafakat diperteguhkan.

Untuk rekod, Pemuda UMNO ditubuhkan pada 26 Ogos 1949 yang diketuai oleh Kapten Hussien Onn.

Dr Asyraf juga menyeru semua pihak bersama berganding bahu mengembalikan negara ke arah gemilang.

Berikut merupakan nukilan penuh Dr Asyraf sempena Ulang Tahun Pemuda UMNO Malaysia.

26 Ogos tanggal keramat
Lahirnya gerakan wadah umat
Pemuda UMNO tonggak daulat
Di barisan hadapan pertahan rakyat

Memang Pemuda darahnya panas
Pantang tersentuh gelodaknya deras
Namun akal budi tetap waras
Jangan cuba-cuba untuk mencantas

Perjuangan Pemuda lakarannya gemilang
Bukan sekadar coretan untuk dinostalgiakan
Tetapi pembangun idealisme perjuangan yang terbilang
Menggerak zaman pancaroba penuh rintangan

Perjuangan Pemuda penuh bermakna
Disemat hanya untuk agama
Menjulang tinggi kedaulatan Istana
Mendokong agenda bangsa
Tanpa sekelumit gundah demi negara

Perjuangan ini menagih pengorbanan
Menuntut masa juga keberanian
Harta dan jasad rela dipertaruhkan
Walau kekadang tiada yang mengenang

Perjuangan asal bukan kerna ganjaran
Tidak sesekali kontrak atau gelaran
Mendongak angkuh amatlah pantang
Pemuda UMNO pelopori perubahan

Di kala bahtera dilanda badai gelombang
Pemuda setia tidak pernah goyang
Tidak dihirau hulubalang yang tumbang
Pemuda bangkit menjadi perangsang

Wahai Pemuda teruskan kebangkitan
Perkukuh wadah jauhi persengketaan
Di persada Muafakat kita teguhkan
Menggalas amanah umat penuh harapan

Wahai Pemuda teruskan berjuang
Kita kembalikan Malaysia yang gemilang
Jangan alpa jangan sesekali dibuai kelekaan
Pemuda UMNO Teras Kebangkitan – UMNO ONLINE

#BangkitKembali
#PemudaTerasKebangkitan

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.