Ulang Tahun Ke-71 Pemuda UMNO…. Teruskan Berjuang – Hishammuddin

KUALA LUMPUR, 26 Ogos – Bersempena genap 71 tahun usia penubuhan Pemuda UMNO, Menteri Dalam Negeri yang juga mantan Ketua Pemuda Sesi 1999 – 2008, Datuk Seri Hishammuddin Hussein menzahirkan sokongan agar perjuangan tetap diteruskan.

Katanya, Pemuda merupakan institusi kepimpinan masa hadapan kerana bagaimana Pemuda hari ini begitulah masa depan negara.

“Pengorbanan Pemuda demi menyatukan orang-orang Melayu juga cukup besar dan hari ini selepas lebih tujuh dekad, Pemuda telah melalui pelbagai suka duka dan jerit perih – inilah lumrah perjuangan.

“Ada masanya tenang, ada masanya berperang dan ada masanya perlu berunding serta bertindak mengikut kesesuaian,” katanya melalui kenyataan dalam laman Facebooknya, hari ini.

Ujarnya yang juga Ahli Parlimen Sembrong, ujian tidak akan pernah tamat namun yang penting, Pemuda mesti tabah, bersatu hati, memiliki keseragaman pemikiran dan tindakan bagi mencapai matlamat perjuangan demi agama bangsa dan negara.

“Teruskan perjuangan – sokongan dan doa saya sentiasa mengiringi. Hidup Pemuda!”

Sebelum itu beliau turut mengimbau sejarah sejak Pemuda UMNO ditubuhkan pada 26 Ogos 1949.

“Jasa Pemuda terlalu banyak. Paling bermakna, Pemuda telah sama-sama berjuang memerdekakan tanah air di mana ketika itu Pemuda diketuai ayahanda saya sendiri, Allahyarham Tun Hussein Onn sebagai Ketua Pemuda pertama.

“Salah satu detik bersejarah, mesyuarat setengah tahun Pemuda pada 14 Februari 1951 telah meluluskan ketetapan agar seruan ‘Hidup Melayu‘ digantikan dengan seruan ‘Merdeka‘,” katanya lagi. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.