Saya Akan Terus Rayu Undi… Kempen Bersemuka Yakinkan Pengundi – Zaidi

TANJUNG MALIM, 26 Ogos – Calon Barisan Nasional (BN) Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim, Mohd Zaidi Aziz akan meneruskan pelbagai medium kempen khususnya secara bersemuka dengan menemui seramai mungkin pengundi dalam usaha merayu mereka agar memberikan undi kepada BN Sabtu ini.

Menurut beliau, dengan tempoh berkempen yang semakin menghampiri hari mengundi, usaha tersebut terus ditingkatkan dan akan menjelajah ke segenap kawasan bersama jentera setempat dan jentera pelbagai peringkat baik negeri, bahagian termasuklah rakan-rakan lain dan sebagainya lagi.

‘’Kita mempunyai sasaran tertentu dalam usaha mengenalpasti pengundi untuk ditemui seramai mungkin termasuklah kumpulan daripada NGO, bekas guru, bekas kakitangan awam dan pelbagai kumpulan sasaran lain.

‘’Cuma apa yang pasti kita akan lipatgandakan lagi gerak kerja sehingga ke saat-saat akhir dan berharap pengundi keluar mengundi awal pagi dan begitu juga jentera parti agar dapat membawa seramai mungkin pengundi keluar,’’ katanya kepada UMNO-Online.

Dalam masa yang sama, beliau menzahirkan kesukuran kerana sepanjang temph berkempen, penerimaan positif diberikan oleh orang ramai.

“Alhamdulillah maklum balas yang diterima sehingga ke hari ini amat positif namun insya-Allah ianya diharap dapat diterjemahkan pada Sabtu ini.

‘’Apa pun kita tidak akan mengambil sikap selesa dengan perkembangan tersebut sebaliknya akan terus merayu dan akan terus bersemuka dengan para pengundi dalam usaha meyakinkan mereka agar mengundi saya Sabtu ini, insya-Allah,’’ ujarnya lagi. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.