Muafakat Nasional Terima Penyertaan PPBM

KUALA LUMPUR, 26 Ogos – Setiausaha Agung Bersama Muafakat Nasional (MN), Tan Sri Annuar Musa memaklumkan usaha memantapkan MN terus mendapat suntikan tambahan apabila dimaklumkan oleh YAB Presiden PPBM, Tan Sri Muhyidin Mohd Yasin kesediaan PPBM untuk turut menyertai MN.

Katanya, UMNO dan PAS secara komited telah membentuk gagasan Muafakat Nasional kerana menginsafi bahawa kuasa politik orang Melayu dan umat Islam semakin lemah lantaran perpecahan yang semakin parah.

Pertemuan Tiga Presiden Parti

“Sejak tertubuh, kita bersyukur kerana MN semakin diterima rakyat pelbagai kaum dan diperlihatkan dengan kemenangan demi kemenangan dalam siri-siri PRK yang diadakan.

“Alhamdulillah, terbaharu, usaha memantapkan MN terus mendapat suntikan tambahan apabila kita dimaklumkan oleh YAB Presiden PPBM, kesediaan PPBM untuk turut menyertai MN,” katanya yang juga Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN) dalam kenyataan media hari ini.

Ujarnya, perkara ini telah dibincang dengan teliti dan mendalam oleh Jawatan Kuasa Pemandu MN, yang dipengerusikan bersama oleh Timbalan Presiden UMNO dan Timbalan Presiden PAS pada 6 Ogos 2020.

“Susulan dari itu surat rasmi telah diutus pada 13 Ogos 2020. Jawapan rasmi kesediaan PPBM menyertai MN telah diterima pada 18 Ogos 2020 di tandatangani oleh YAB Tan Sri Muhyidin Mohd Yasin sendiri.

“Biro Politik UMNO telah membincangkan perkembangan terbaharu ini pada 23 Ogos 2020, dan turut melibatkan semua Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri/Pengerusi BN Negeri.

“UMNO amat prihatin dan mengambil berat akan usaha menyatupadukan orang melayu dan membina kekuatan kelompok teras melayu islam.ia adalah satu kewajipan dan keutamaan yang menjadi asas kepada perjuangan UMNO itu sendiri.”

Jelasnya lagi yang juga Ahli Parlimen Ketereh, atas dasar itu UMNO telah bersetuju supaya MN menerima penyertaan PPBM dan ingin melihat dengan penyertaan tersebut, penyatuan dan perpaduan orang melayu bertambah mantap lagi selaras dengan piagam mn yang termaktub sebelum ini. – UMNO Online

Leave a Reply

Your email address will not be published.

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.