101 Projek Rundingan Terus: Dap Terbukti Cakap Tidak Serupa Bikin

KUALA LUMPUR, 26 Ogos – Penganalisa Politik tempatan, Azizi Safar berkata, isu 101 projek runding terus bernilai RM6.61 bilion yang dibongkar oleh Menteri Kewangan Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz semalam dalam Sidang Dewan Parlimen bukanlah mengenai siapa yang dapat projek daripada bekas Menteri Kewangan Lim Guan Eng tetapi ia adalah berkaitan integriti Pakatan Harapan (PH) dalam melaksanakan janji mereka.

Jelas beliau, dahulu PH sering mendabik dada kononnya dalam pentadbiran mereka tidak akan ada lagi projek runding terus namun apa yang didedahkan ini jelas menunjukkan sebenarnya PH cakap tidak serupa bikin.

“Sekarang ini bukan soal siapa yang dapat projek runding terus tetapi ia lebih kepada janji PH yang tidak boleh pakai. Untuk rekod, pada 8 Oktober 2018, Guan Eng semasa berucap di forum ‘Malaysia: A New Dawn’ berkata, tiada lagi projek runding terus di bawah Kerajaan PH.

“PH juga selalu kata, pemberian projek-projek secara rundingan terus mendedahkan pihak terlibat kepada perbuatan rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa serta pembaziran rakyat malah dalam buku Harapan yang menjadi sebahagian manifesto PH; janji yang ke-23 menyatakan, ‘untuk memastikan setiap sen wang rakyat dibelanjakan dengan baik, Kerajaan PH akan mereformasi sistem perolehan dan pemberian kontrak kerajaan, demi memastikan ia lebih berdaya saing dan menjana nilai yang terbaik untuk wang rakyat. Kami akan memastikan sistem tender terbuka digunakan dengan meluas dan telus, terutamanya untuk projek-projek besar’.

“Tapi akhirnya yang terbongkar adalah sebaliknya… oh, lupa… ada orang pernah kata, manifesto bukan kitab suci,” ujar beliau kepada UMNO-Online.

Dalam Sidang Parlimen semalam, Guan Eng cuba menafikan pemberian kontrak secara rundingan terus sepertimana telah didedahkan oleh Menteri Kewangan.

Menteri Kewangan menyatakan sebanyak 101 projek secara rundingan terus telah dibuat dan ketika itu Guan Eng adalah Menteri Kewangan.

Bertambah hangat apabila kenyataan Guan Eng kononnya pemberian kontrak secara rundingan terus itu mendapat persetujuan Kabinet telah disanggah oleh Menteri Kanan Datuk Seri Azmin Ali dan dipersetujui oleh Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Harun.

“Adakah Guan Eng cuba mengelirukan Dewan Rakyat dengan memberi kenyataan yang tidak benar? Maka, sesuatu perlu dilakukan kerana rakyat hendak tahu cerita sebenar.

“RM6.61 bilion ini duit rakyat jadi rakyat ada hak untuk tahu,” tegas beliau lagi. – UMNO ONLINE

Oleh: Azlina Rosdy

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.