Tawar Projek Runding Terus: Satu Lagi Penipuan Terbesar PH – Dr Najmil

KUALA LUMPUR, 25 Ogos – “Ini adalah penipuan terbesar kerajaan PH (Pakatan Harapan) kerana mereka pernah berjanji untuk melakukan tender terbuka terhadap projek-projek besar. Sebaliknya, perolehan tender kerajaan dibuat secara rundingan terus.”

Demikian bidas Exco Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Datuk Dr Najmil Faiz Mohamed Aris yang terkejut mengenai pendedahan Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz bahawa sepanjang 22 bulan kerajaan PH memerintah sebanyak 101 projek dengan perolehan berjumlah RM6.61 bilion telah ditawarkan secara rundingan terus.

“Sepanjang mereka memerintah, PH menipu rakyat Malaysia dengan mengatakan kerajaan tidak mempunyai kewangan yang kukuh hingga memaksa rakyat mengikat perut kononnya untuk menyelamatkan negara.

“Lebih kejam, program berimpak tinggi seperti biasiswa MyBrain15 yang banyak membantu siswazah juga dimansuhkan atas alasan untuk berjimat.

“Kini, terbukti PH berbohong dan RM 6.61 bilion adalah jumlah yang amat besar jika digunakan untuk meneruskan dasar-dasar pembangunan kerajaan BN (Barisan Nasional) yang berimpak tinggi,” katanya dalam satu kenyataan.

Justeru Dr Najmil yang juga Timbalan Ketua UMNO Bahagian Kuala Terengganu mempersoalkan kelayakan syarikat yang memperolehinya selain menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat bekas Menteri Kewangan, Lim Guan Eng yang juga Ahli Parlimen Bagan.

“Apakah kriteria dan kelayakkan syarikat-syarikat yang mendapat projek ini?

“SPRM haruslah menyiasat YB (Yang Berhormat) Bagan kerana meluluskan projek-projek ini,” tegasnya. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.