Projek Rundingan Terus RM6.61 Bilion: Pemuda BN Buat Laporan SPRM

PUTRAJAYA, 25 Ogos – Pemuda Barisan Nasional (BN) hari ini membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) berkaitan pendedahan 101 projek perolehan bernilai RM6.61 bilion yang ditawarkan secara rundingan terus oleh Pakatan Harapan (PH) ketika mentadbir kerajaan selama 22 bulan.

Mewakili Pemuda BN, Exco Pemuda UMNO Malaysia Muhammad Nur Aizat Noor Azam berkata, SPRM perlu menjalankan siasatan dengan tegas dan telus terhadap pembongkaran yang dilakukan oleh Menteri Kewangan Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz dalam sidang Dewan Parlimen semalam.

“Kita faham, memang ada rundingan terus mengikut prosedur yang dibenarkan tetapi kalau sudah sampai 101 rundingan terus ia seperti ada yang tidak kena dan tidak boleh diterima.

“Manifesto PH Perkara 23 ada menyebut tidak akan ada sebarang projek menerusi rundingan terus tetapi ia tetap dilakukan sehingga melibatkan RM6.61 bilion. Bukan kita kata tidak boleh ada rundingan terus tapi kita bimbang ada ketirisan dan bimbang jika ada wang yang sepatutnya rakyat dapat tapi telah dirompak oleh PH ketika itu,” ujar beliau kepada media selepas membuat laporan di SPRM Putrajaya, hari ini.

Tambah Aizat, kebimbangan barisan Pemuda BN juga adalah tentang salah laku yang dilakukan oleh bekas Menteri Kewangan Lim Guan Eng apabila Ahli Parlimen Gombak Datuk Seri Azmin Ali menafikan kenyataan Guan Eng bahawa semua projek rundingan terus telah diputuskan dalam mesyuarat Kabinet.

“Kebimbangan kita juga mengenai Bagan (Guan Eng) telah menyebut semua projek yang diberi secara rundingan terus telah dibentang dalam mesyuarat Kabinet tapi lima minit selepas itu Gombak (Azmin Ali) iaitu rakan kabinet beliau ketika itu telah bangun dan menafikannya.

“Ada percanggahan fakta, penipuan dan kami rasa mungkin ada salah guna kuasa.

“Jadi, tujuan kami membuat laporan SPRM hari ini adalah untuk mendesak agar pihak SPRM menyiasat perkara ini dengan segera. Kami juga minta SPRM agar bersikap tegas, terus-terang dan memaklumkan kepada rakyat tentang siasatan yang dilakukan,” ujar beliau lagi.

Untuk rekod, semalam Menteri Kewangan ketika penggulungan Rang Undang-Undang (RUU) Langkah-langkah sementara bagi pembiayaan kerajaan (penyakit koronavirus 2019) COVID-19 2020 di Dewan Rakyat telah mendedahkan mengenai 101 projek atau perolehan kerajaan bernilai RM6.61 bilion secara rundingan terus yang diluluskan oleh PH sepanjang 22 bulan mentadbir negara. – UMNO ONLINE

Oleh: Azlina Rosdy

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.