PRK Slim: Jentera Wanita UMNO Terus Komited Menjelang Tempoh Akhir Berkempen – Norshida

TANJUNG MALIM, 25 Ogos – Ketua Penerangan Wanita UMNO Malaysia, Norshida Ibrahim berkata seluruh jentera penerangan khususnya wanita akan melipatgandakan lagi usaha menerusi segala medium yang ada untuk membantu kempen parti sekaligus memastikan kemenangan calon Barisan Nasional (BN), Mohd Zaidi Aziz pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim Sabtu ini.

Menurut beliau tempoh berkempen yang hanya berbaki tiga hari sahaja lagi sebelum menjelangnya hari pengundian maka sudah pasti segala gerak kerja dilipatgandakan.

“Alhamdulillah sehingga ke hari ini segala perancangan dan pelaksanaan kita khususnya jentera penerangan bergerak dengan baik malah sentiasa bersama jentera pelbagai peringkat membantu menjelaskan kepada pengundi DUN Slim kenapa mereka perlu menolak calon bebas dan memilih Mohd Zaidi.

“Apa yang pasti kempen yang hampir sampai ke penghujungnya akan digunakan dengan sepenuhnya termasuklah Jalinan Rakyat (JR) yang terus bergerak dan terus mengenalpasti pengundi dan begitulah juga dengan jentera penerangan itu sendiri,” katanya kepada UMNO-Online, di sini, hari ini.

PRK DUN Slim menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara Mohd Zaidi, 43, dan dua calon Bebas iaitu S. Santhasekaran, 44, dan Amir Khusyairi Mohamad Tanusi, 38. Sebanyak 23,094 pengundi layak mengundi pada PRK itu.

Norshida seterusnya menambah koordinasi yang cukup baik pelbagai peringkat tentunya akan membuahkan hasil dan apa yang penting masing-masing mampu melaksanakan tugas dan amanah yang diberikan.

Pada masa yang sama beliau turut mengharapkan pengundi membuat pilihan yang terbaik dengan mengundi calon BN, Mohd Zaidi agar DUN Slim dapat terus dibela sekaligus dapat menyambung legasi yang telah ditinggalkan Allahyarham Datuk Khusairi Talib.

“Saya percaya Mohd Zaidi mampu melakukan yang terbaik untuk masyarakat di DUN Slim apatah lagi beliau pernah bersama dengan Allahyarham Datuk Khusairi serta pimpinan bahagian yang lain dan tentunya segala legasi yang ditinggalkan akan disambung selepas beliau mendapat kepercayaan pengundi Sabtu ini,’’ ujarnya.- UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.