Kembalikan Semangat Rukun Negara… Perisai Pertahan Kedaulatan, Keluhuran Perlembagaan

KUALA LUMPUR, 25 Ogos – Timbalan Presiden UMNO, Dato Seri Mohamad Hasan mengajak semua untuk mengembalikan semangat sebenar Rukun Negara yang dirangka 50 tahun lepas.

Katanya, ini adalah agar Malaysia menjadi negara yang lebih baik dan dipimpin dengan lebih bertanggungjawab oleh mereka yang akan melakukan apa sahaja sebagai perisai mempertahankan kedaulatan undang-undang dan keluhuran Perlembagaan.

“Dan bukan menjadikan Perlembagaan dan undang-undang sebagai perisai mempertahankan kepentingan sendiri yang tidak sah,” katanya dalam kenyataan menerusi laman Facebooknya, hari ini.

Ujarnya, mereka yang memimpin Malaysia mesti membuktikan pemikiran, tindakan dan sikap mereka adalah nilai dan karakter yang sesuai serta selari dengan kemajuan masyarakat dan negara kerana Malaysia abad ke-21 sudah jauh berbeza.

“Salah satu tunggak penting Rukun Negara yang menjadikan Malaysia sangat membangun dan berjaya ialah Keluhuran Perlembagaan dan Kedaulatan Undang-Undang.

“Rukun Negara menjadikan Malaysia negara hukum, yang harus diurus dan dikelola berdasarkan Perlembagaan Persekutuan sebagai undang-undang tertinggi negara dan undang-undang lain yang didaulatkan.”

Maka, katanya menjadi tanggungjawab semua rakyat Malaysia untuk mempertahankan Perlembagaan Persekutuan, termasuklah mengingatkan pemerintah jika mereka tersasar dan khilaf sehingga membawa kepada perlanggaran hukum dan tindakan tidak berperlembagaan.

“Salah satu karakter penting Perlembagaan Persekutuan adalah peruntukan khusus yang memelihara hak asasi manusia dan peruntukan bahawa semua rakyat Malaysia adalah sama dan setara di sisi undang-undang.

“Tugas mempertahankan Perlembagaan, dan semangatnya, adalah tugas utama pemimpin negara dan ahli legislatif. Bila mereka mengangkat sumpah menerima jawatan, secara langsung mereka berikrar mempertahankan Perlembagaan.

“Yang mesti diingatkan. Di sisi undang-udang, pemimpin tidak sedikit pun berada dalam kedudukan yang lebih istimewa apatah kebal berbanding rakyat biasa. Sebaliknya, mereka memikul amanah yang lebih besar dan berat.”

Tegasnya yang juga Ahli Dewan Undangan (DUN) Rantau, jika pemimpin gagal melaksanakan piawai kepatuhan yang dituntut ke atas mereka, akan cacat, terencat dan susutlah kepercayaan rakyat terhadap Kerajaan dan parti pemerintah.

Beliau berkata demikian sempena genap 50 tahun Rukun Negara diperkenalkan sebagai ideologi dan tiang seri negara.

Rukun Negara ditulis dan disusun oleh Tun Salleh Abas hasil rumusan jawatankuasa yang dianggotai oleh tokoh bangsa seperti Tun Ghazali Shafie, Tan Sri Dr Khoo Kay Kim dan beberapa yang lain. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.