‘Kayuhan Kemenangan Muafakat Nasional’ Meriahkan Kempen Saat Akhir PRK Slim – Mohd Zaidi

TANJUNG MALIM, 25 Ogos – Kayuhan Kemenangan Muafakat Nasional dari Permatang Pauh Ke Slim bakal menyemarakkan lagi usaha kempen Barisan Nasional (BN) pada Pilihah Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim, Sabtu ini.

Ketua UMNO Permatang Pauh, Datuk Mohd Zaidi Mohd Said berkata usaha kayuhan tersebut bakal disertai 20 peserta yang akan memulakan kayuhan di Nasmir Auto City dan mengambil masa tiga hari sebelum sampai ke destinasi.

Menurut beliau kayuhan berkenaan sejauh 246 kilometer akan bermula pada 27 Ogos ini, Khamis melalui jalan persekutuan dan akan berhenti di Ipoh serta menyambung kayuhan pada keesokan harinya ke Slim.

‘’Seramai 20 peserta akan terlibat dan apa yang kita rangka insya-Allah diharap berjalan lancar dan akan bersama-sama dengan pengundi Slim pada hari mengundi nanti,’’ ujarnya.

Ujar beliau lagi, Yang di-Pertua PAS kawasan Permatang Pauh, Hj Omar Hasan bersama Pengarah Urusan Nasmir Holding yang merupakan penaja utama akan melepaskan peserta kayuhan di pekarangan Nasmir Hotel Auto City.

“Ketibaan peserta kayuhan akan disambut oleh Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Pulau Pinang, Datuk Musa Sheikh Fadzir.

‘’Program ini turut mendapat kerjasama UMNO Pulau Pinang dan insya-Allah kita berharap ianya berjalan lancar dan selamat sampai ke destinasi sepertimana yang dirancang, insya-Allah,’’ katanya lagi. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.