‘Speaker Corner’ UMNOSiswa Dimeriahkan Kehadiran ‘Bro Zaidi’ Dan Hasni

TANJUNG MALIM, 24 Ogos – ‘Speaker Corner’ UMNOSiswa hari ini menjadi tumpuan penduduk di sekitar Felda Trolak Utara, di sini apabila beberapa mahasiswa turun berkempen membantu calon Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim Sabtu ini.

Dengan menggunakan ‘truck pickup hilux’ para mahasiswa silih berganti memberikan ucapan masing-masing dengan mengajak pengundi serta penduduk setempat membuat pilihan yang tepat iaitu memilih Mohd Zaidi Aziz selaku calon nombor dua pada kertas undi nanti.

Suasana kemudiannya bertukar lebih hangat apabila bukan sahaja calon BN, Mohd Zaidi turut meluangkan masa menggunakan platform berkenaan untuk merayu undi, malah Pengerusi BN Johor, Datuk Hasni Mohammad yang kebetulan berada di Pusat Daerah Mengundi (PDM) berhampiran turut memeriahkan suasana.

Lokasi ‘Speaker Corner’ yang strategik di persimpangan kawasan Felda Trolak Utara serta bersebelahan dengan pusat penjaja makanan menjadikan suasana lebih hangat dengan kenderaan yang turut membunyikan hon masing-masing sebagai tanda sokongan.

Pengerusi Sekretariat Mahasiswa dan Pendidikan Pemuda UMNO, Farhan Khairudin Ketika ditemui UMNO-Online menjelaskan ‘Speaker Corner’ tersebut merupakan salah satu medium penyampaian dalam usaha membantu kempen calon BN, Mohd Zaidi.

Kata beliau, seramai 80 mahasiswa terlibat dalam menjayakan gerakan tersebut yang selepas ini akan turut disusuli dengan pelbagai program lain dalam siri kempen sehingga menjelangnya hari pengundian Sabtu ini.

‘’Hari ini mahasiswa UMNO seramai 80 orang telah turun membantu kempen PRK DUN Slim dan hari ini bermula kempen ‘Speaker Corner’ mereka secara berjadual yang bermula hari ini hingga menjelang hari pengundian Sabtu ini termasuk beberapa program yang telah dirangka.

‘’Hari ini apabila bercakap UMNO sedang diremajakan inilah buktinya yang mana peranan penerangan seumpama ini diberikan kepada golongan mahasiswa dan sebagai Exco Pemuda yang dipertanggungjawabkan selaku Pengerusi Sekretariat Mahasiswa dan Pendidikan saya ucapkan terima kasih kepada mereka yang terlibat,’’ katanya.

Tambah Farhan sambutan yang diterima daripada masyarakat setempat cukup baik dan ianya sekaligus memberikan mereka lebih bersemangat untuk terus bergerak sepanjang kempen yang berbaki beberapa hari lagi.

‘’Mereka yang hadir hari ini membantu untuk berkempen bagi calon BN, Mohd Zaidi Aziz yang mereka menggelarkan ‘Bro Zaidi’ kerana pernah memimpin belia dan calon kita ini cukup pakej untuk diangkat serta dekat dengan pelbagai kumpulan masyarakat termasuklah golongan pertengahan dan golongan muda,’’ ujarnya lagi.- UMNNO-Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.