Razlan Gesa SPRM Siasat 101 Projek ‘Direct Nego’ Di Bawah PH

KUALA LUMPUR, 24 Ogos – Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Mohd Razlan Rafii menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat salah laku yang telah dilakukan oleh kabinet kerajaan Pakatan Harapan (PH) sepanjang 22 bulan mereka menjadi kerajaan.

Katanya, ini menunjukkan rakyat sudah ditipu bila mana semasa pemerintahan PH, mereka berjanji tidak akan melaksanakan tender secara runding terus dan akan melaksanakan semua perolehan kerajaan secara tender terbuka.

“Sebanyak RM6 billion duit rakyat telah ditipu untuk memberikan kepentingan kepada syarikat yang bersengkongkol dengan kerajaan PH, PH menipu rakyat untuk mendapat kuasa dengan berjanji akan melaksanakan tender terbuka dan telus.

“Bagaimana mungkin hanya jangkamasa 22 bulan memerintah, kerajaan PH boleh menilai projek-projek sebanyak 101 dilaksanakan dengan dengan secara telus, dengan masa yang singkat ini, kerajaan PH telah memberikan tender terhad kepada syarikat yang berkepentingan dengan kerajaan PH, ini akan merugikan rakyat dan jelas telah merompak duit rakyat demi kepentingan politik PH,” tegasnya dalam satu kenyataan.

Razlan berkata demikian merujuk kepada perbahasan Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz di Parlimen hari ini berkenaan 101 projek-projek rundingan terus yang diberikan kepada syarikat-syarikat di bawah kepimpinan PH.

Justeru Razlan menggesa kerajaan Perikatan Nasional (PN) mesti membatalkan kesemua tender-tender terhad yang telah diberikan kepada syarikat-syarikat yang berkaitan.

“Kerajaan PN kena berani mengambil tindakan ini sekira tidak mahu rakyat melihat PN bersengkongkol dengan kerajaan PH di dalam pengagihan kekayaan negara secara tidak telus,” katanya lagi. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.