PRK DUN Slim Pengukuhan Politik Permuafakatan  – Annuar Musa

TANJUNG MALIM, 23 Ogos – Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN) Tan Sri Annuar Musa berkata Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim menjadi petunjuk serta saksi kepada pengukuhan yang terjalin antara Barisan Nasional (BN), Muafakat Nasional (MN) mahu pun Perikatan Nasional (PN) dan sewajarnya ianya diurus serta  dijaga sebaiknya demi kepentingan rakyat.

Menurut beliau daripada awal selepas berlakunya kekosongan kerusi DUN Slim, PAS serta PPBM masing-masing memberikan laluan kepada UMNO dan BN untuk meletakkan calon pada Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN berkenaan.

‘’Yang pasti apabila berlakunya kekosongan kerusi DUN Slim, PBBM beritahu awal-awal lagi sila ‘you all’ pilih calon, ‘contact’ dengan PAS…PAS pun begitu juga keputusannya agar UMNO jadi calon, malah malam ini Setiausaha Agung PAS memberikan ‘fatwa’ minta pengundi serta penyokong PAS DUN Slim R  ini 100 peratus beri sokongan. Turunnya Setiausaha Agung PBBM pun begitu juga..begitu juga rakan-rakan BN lain. Tujuannya mahu merapatkan saf.

‘’Pilihan raya ini penting dan PRK ini peluang bagi rakyat beri ‘endorsmet’ kepada Kerjasama UMNO dan PAS, beri ‘endorsement’ kepada Muafakat Nasional yang diperbesarkan dengan penyertaan PBBM, beri ‘endorsement’ kepada politik permuafakatan menggantikan politik perpecahan.

‘’Dan inilah peluang untuk rakyat bersatu hati dan bukannya lagi soal individu tetapi memperagakan istiqamah perjuangan, penyatuan perjuangan rakyat setelah bersama dengan kerajaan menentang COVID-19, kita ada ‘COVID’ yang lebih besar di depan yang menuntut untuk kita bekerjasama serta bersatu padu dan kita mulakan di Slim River ini yang insya Allah kita akan pamerkan kemenangan yang paling besar kepada calon kita, Mohd Zaidi Aziz 29 Ogos nanti,’’ katanya.

Beliau berkata demikian Ketika berceramah sepentas bersama empat lagi Setiausaha Agung daripada rakan-rakan komponen BN, PAS serta PPBM.

Selain Annuar Musa yang merupakan Setiausaha Agung BN,  Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hasan, Setiausaha Agung MCA, Datuk Chong Sin Wong, Setiausaha Agung MIC, Datuk M. Asojan dan Setiausaha Agung PPBM, Datuk Seri Hamzah Zainuddin.

Annuar Musa seterusnya menjelaskan ada perkara yang lebih penting dan lebih besar daripada Tun Dr Mahathir  di negara ini yang mana kepentingan rakyat, bangsa dan negara yang wajib disatukan dan tidak boleh dipecahkan.

‘’Saya ini orang kuat Tun Dr Mahathir, Datuk Seri Hamzah pun orang kuat Tun Dr Mahathir…tetapi takkanlah dalam dunia ini Tun Mahathir seorang sahaja yang betul. Tengku Razaleigh tidak betul, Tun Musa Hitam tidak betul, Tun Gahafar Baba tidak betul, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak betul…ganti Pak Lah tidak betul…ganti Datuk Seri Najib tidak betul, ganti Tan Sri Muhyiddin tidak betul..jadi siapa yang betul..Mahathir dengan Mukhrizkah yang betul dalam Malaysia ini.

‘’Ada benda lebih besar daripada Tun Mahathir. Jasanya wajib kita kenang…jangan kita kasar dan jangan melampaui batas-batas tertentu dan hormat kena hormat tetapi tidak boleh kepentingan Dr Mahathir itu mengatasi kepentingan segalanya,’’ ujarnya.

Sementara itu Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyudin Hassan dalam ucapannya meminta semua dan seluruh ahli termasuklah penyokong parti itu keluar mengundi calon BN, Mohd Zaidi Aziz 29 Ogos nanti.

‘’Bagi pihak PAS dalam PRU yang lalu, PAS bertanding menjadi tiga penjuru di DUN Slim ini. BN mendapat 8,327, PKR yang mewakili PH mendapat 6,144. Tidak banyak bezanya tetapi PAS juga telah mendapat undi sebanyak 4103 undi.

‘’Jadi saya selaku Setiausaha Agung PAS mengarahkan dan mewajibkan kepada semua penyokong dan pengundi ahli PAS dalam DUN Slim wajib untuk keluar mengundi dan mengundi calon BN, Mohd Zaidi Aziz yang mewakili kita semua supaya kita akan mencapai kemenangan yang tidak boleh dipersoalkan.

‘’Apatah lagi yang lawan kita bukanlah parti yang kita lawan semasa PRU lalu. Kita pun cari tidak berjumpa dimanakah gerangan mereka…kenapa tidak muncul-muncul calon PH ini.Yang ada ini parti tidak bernama…Bertanding atas calon bebas,’’ ujarnya.- UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.