Pertahankan Dan Tingkatkan Kejayaan Felda

TANJUNG MALIM, 23 Ogos – Pengerusi Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi hari ini mengajak masyarakat Felda agar bukan sahaja terus mempertahankan kejayaan yang telah dicapai Felda malah bersama-sama meningkatkan lagi ke tahap yang lebih baik.

Berucap pada majlis Santai Bersama Anak-Anak Felda di Besout 1, di sini, beliau berkata tidak ada skim tanah yang berjaya di dunia yang cuba untuk menjadikan Felda sebagai replika tetapi hanya Felda sahaja yang berjaya.

“Dalam perjalanan yang panjang tentu ada kekangan, tentu ada halangan. Untuk berjaya pasti ada kekangan ada halangan…kejayaan itu sukar dicapai tetapi mempertahankan kejayaan itu lebih sukar maka saya harap pimpinan KAF, Majlis Belia Felda, dan pimpinan peneroka Felda, pimpinan pengurusan Felda pertahankan ini…kita lihat bahawa kejayaan-kejayaan ini bukan hanya harus dipertahankan malah harus dipertingkatkan,” katanya.

Katanya lagi beliau juga akan memaklumkan kepada Perdana Menteri dalam soal pembinaan rumah untuk generasi Felda.

“Saya akan maklumkan pada Perdana Menteri untuk menambah pembinaan bagi rumah-rumah generasi ke-3 dan ke-4.

“Paling penting pembayaran balik hendaklah tidak kurang dari 25 tahun, kalau tidak cukup mungkin boleh di tambah kepada 30 tahun,” ujarnya.

Program santai anak-anak Felda bersama Ahmad Zahid pada petang itu turut dihadiri bekas Pengerusi Felda, Tan Sri Shahrir Samad, Ketua Peneroka FELDA Kebangsaan, Sulong Jamil Mohamed Shariff.

Sementara itu, dalam kunjungannya ke bilik gerakan IPF di Pekan Slim, beliau berharap agar kerajaan terus memberikan tumpuan kepada masyarakat India dalam beberapa aspek dan ianya akan terus diperjuangkan bersama.

“Saya sendiri akan membawa kepada perdana menteri keperluan-keperluan masyarakat India supaya turut diberikan keseriusan untuk ditangani kerajaan hari ini.

“Pertamanya keciciran di kalangan pelajar-pelajar masyarakat India, keduanya dari segi kemiskinan bandar dan ketiga adalah dari segi mikrokredit mesti diwujudkan satu agensi untuk masyarakat India. Ini bukan janji pilihan raya di Slim.

“Ini adalah azam kerajaan BN, azam kerajaan Perikatan Nasional (PN), supaya masalah ini dapat diselesaikan,” ujarnya.- UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.