Muafakat Nasional Satu Kerjasama Selamatkan, Bina Semula Negara – Khairy

TANJUNG MALIM, 23 Ogos – Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin berkata dua parti Melayu pernah terbina pada tahun 1972 namun ia kembali terjalin atas kesedaran bahawa rakyat yang mahukan UMNO dan PAS bergabung atas nama Melayu Islam.

Jelas beliau, penubuhan kerajaan perpaduan pada masa itu akibat peristiwa berdarah yang melanda negara dan disebabkan itulah kedua-dua pemimpin parti terbesar Melayu menggubal Rukun Negara dan Dasar Ekonomi Baru.

“Pada waktu itu PAS telah berbesar hati menerima tawaran daripada Tun Abdul Razak untuk menyertai kerajaan perpaduan demi membangunkan semula negara yang mana sejarah kita telah tercalar disebabkan peristiwa pertumpahan darah 14 Mei.

“Pada tahun 70-an, PAS dipimpin oleh Allahyarham Datuk Asri dalam usaha membina semula negara seperti menggubal Rukun Negara, Dasar Ekonomi Baru dan usaha daripada Allahyarham Tun Abdul Razak untuk menubuhkan kerajaan perpaduan,” beliau berkata demikian pada program Taqarrub di Dataran Felda Gunung Besout 4, malam tadi.

Turut hadir, Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir; Naib Presiden PAS, Senator Idris Ahmad; Yang Dipertua PAS Bahagaian Tanjung Malim, Mohd Tarmizi Ab Rahman dan pengundi-pengundi Gunung Besout 4.

Khairy turut menjelaskan kalau PAS telah menyertai BN pada tahun 70-an disebabkan tuntutan untuk membina semula negara, barang kali Muafakat Nasional (MN) ini juga adalah satu kerjasama untuk menyelamatkan dan membina semula negara.

“Kita telah melihat selama 22 bulan di bawah Pakatan Harapan (PH) segar dalam ingatan kita betapa seksanya, peritnya, pedihnya nasib terutama orang Melayu Islam di Malaysia.

“Atas semangat itu kita telah buang segala ego, buang sejarah lampau, buang segala ideologi yang sebelum ini nampak bercanggah untuk mewujudkan satu payung besar atas nama bangsa dan agama.

“Akar umbi bukannya mahu kita bercakaran antara satu sama lain. Akar umbi ingin mencari formula yang terbaik dan sudah pasti antara UMNO dan PAS, tetapi Allah telah takdirkan PH hancur dan orang Melayu terpaksa bergabung, bermuafakat untuk selamatkan bangsa dan negara,” tegasnya lagi yang menggesa untuk pengundi memilih calon BN, Mohd Zaidi Aziz 29 Ogos nanti.  – UMNO Online

Oleh: Amin Adnan

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.