Undi BN, Rakyat Serik Dengan Kerosakan Yang Dilakukan PH – Reezal Merican

TANJUNG MALIIM, 22 Ogos – Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Seri Reezal Merican berkata sepanjang kerajaan Pakatan Harapan (PH) memerintah negara, habis rakyat  menjadi kucar kacir akibat permainan politik mereka.

Katanya, interaksi kaum di bawah kerajaan baharu yang terbina kini jauh lebih baik dari apa yang berlaku dalam tempoh 22 bulan PH mentadbir.

“Kita sudah serik dengan kerosakan dalam tempoh 22 bulan. Institusi perpaduan diroboh, pembelaan pada kaum-kaum tertentu diabaikan terutama kaum Melayu. Sebab itu dalam tempoh lima dan enam bulan ini negara menjadi tenteram dari dahulu. Umat Islam tidak terasa sakit hati, kisah- kisah dan cerita-cerita penghinaan kepada junjungan Nabi SAW dan agama sudah tidak kedengaran.

“Dalam tempoh 22 bulan itu pentadbiran menjadi tidak ada hala tuju malahan pembelaan pada kaum-kaum tertentu diabaikan terutama kaum Melayu. Nasib rakyat seperti nelayan, petani, pesawah dihimpit sedangkan dahulunya mereka mendapat nikmat dari kerajaan BN tetapi dinafikan oleh kerajaan PH,” katanya di bilik gerakan PDM Changkat Sulaiman, malam tadi.

Turut hadir Timbalan Ketua UMNO Bahagian Pasir Salak, Khairul Azwan Harun; Imam Masjid Jamik Chagkat Sulaiman, Jasmi Aziz; Ketua PDM Changkat Sulaiman, Mohamad Jaafar dan pengundi-pengundi N58, Slim.

Reezal juga menjelaskan bahawa PRK Slim ini sebagai kubu kuat BN dan akan menjadi teras kepada kekuatan Muafakat Nasional (MN).

“Kita akan pastikan Slim ini akan dikekalkan sebagai kubu kuat BN dan ini akan menjadi isyarat kuat. Kita hantar signal dan isyarat yang kuat bahawa PDM Changkat Sulaiman ini adalah PDM yang akan menjadi teras dan kuat kepada MN.

“Menang BN, menang MN bererti menang kepada sebuah perjuangan mengekalkan Malaysia yang sebelum ini ditukar kepada kononnya ‘Malaysia Baru’.

“Kita nak lawan pertahankan Malaysia asal, Malaysia yang asal dipasakkan fitrah yang memang berteraskan sebuah bangsa dan negara yang majmuk dan rakyatnya hidup rukun hingga ke hari ini,” tegasnya. – UMNO Online

 

Oleh: Amin Adnan 

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.