PRN Sabah: Rapatkan Barisan, Kemenangan Bergantung Penyatuan Pemikiran Dan Tindakan – Ahmad Zahid

TANJUNG MALIM, 22 Ogos – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, koordinasi dan kerjasama yang baik dangan semua parti komponen dalam Barisan Nasional (BN) Sabah termasuk PBS, STAR, PCS dan parti-parti yang lain amat penting dalam memastikan kemenangan BN dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) negeri Sabah.

Justeru jelas beliau, segala permasalahan dalaman harus diketepikan segera.

“Saya telah meminta Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri Sabah, Datuk Seri Bung Mokhtar Radin untuk mengadakan koordinasi dengan semua ketua UMNO bahagian dan kawasan tumpuan. Ini amat penting untuk memastikan kemenangan kita di Sabah.

“Kita sudah menjangkakan Warisan akan memberikan tentangan yang hebat tapi saya yakin dengan koordinasi ini, kita boleh memberikan yang terbaik,” katanya semasa program ziarah kasih PDM di Besout 2, hari ini.

Mengulas berkaitan masalah dalaman UMNO Sabah jelas Ahmad Zahid, perbezaan pendapat antara pimpinan Sabah itu hanyalah bersifat sementara.

“… yang penting harus memenangi PRN ini. Bagi saya ini hanya masalah sementara dan saya minta semua pihak merapatkan barisan kerana kemenangan PRN Sabah bergantung kepada penyatuan pemikiran dan tindakan oleh pelbagai pihak bukan sahaja di kalangan UMNO tetapi parti-parti politik di Sabah.

“Saya tidak nampak ada permasalahan kerana mungkin ada perbezaan pendapat tetapi saya telah meminta Bung Mokhtar untuk melakukan ‘engagement’ dengan semua pihak baik dalam dan luar parti supaya kemenangan memihak kepada kita,” ujar beliau lagi. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.