PRK Slim: Jangan Terkeliru Dengan Isu, Percayalah UMNO Dan BN Adalah Yang Terbaik

SELANGOR, 22 Ogos – Ketua Penerangan Wanita UMNO Selangor Suhaila M. Zin berharap agar pengundi di Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim jangan sesekali terkeliru dengan isu yang sedang hangat diperkatakan kini iaitu berkaitan kerjasama antara UMNO dan PAS dalam Muafakat Nasional (MN).

Ujar beliau, walau apapun yang terjadi, para pengundi harus ingat kesukaran dan keperitan yang dilalui selama 22 bulan di bawah pentadbiran Pakatan Harapan (PH).

“Kita sudah melalui betapa siksanya di bawah pentadbiran PH. Jadi, adakah kita mahu sekali lagi tersalah langkah? Disebabkan mahu perubahan dan rasa marah kepada UMNO maka rakyat ingin mencuba sesuatu yang baru dan akibatnya bukan sahaja rakyat merana tetapi negara juga rosak.

“Sebab itu, walau apapun isu yang dimainkan, jangan sesekali kita terkeliru atau terpengaruh. Kita harus kekal fokus dan yakinlah bahawa pihak pemimpin tertinggi parti tahu apa yang mereka lakukan. Sudah pasti mereka akan buat yang terbaik untuk rakyat dan negara,” ujar beliau kepada UMNO-Online.

Tambah Suhaila, memang tidak dapat dinafikan keadaan politik negara sekarang ini agak panas dan tidak stabil tetapi segala keputusan adalah ditangan rakyat itu sendiri.

“Rakyat telah membuktikan bahawa kuasa sebenar adalah ditangan mereka. UMNO dan BN yang telah memimpin sejak merdeka akhirnya tumbang dan kini setelah pentadbiran PH berjaya ditumbangkan adakah kita mahu kembali memberi mereka kuasa?

“Percayalah, walaupun UMNO tidak sempurna tetapi UMNO adalah yang terbaik. Kita telah belajar dari kesilapan lampau dan saya pasti pemimpin UMNO akan melakukan yang jauh lebih baik untuk rakyat dan negara.

“Berkaitan isu kerjasama dalam MN, biarlah pihak atasan yang berbincang sebaik mungkin. Setakat ini keputusan yang dinyatakan oleh Presiden kita adalah tegas iaitu kekal dalam MN. Maka, jentera di PRK Slim harus memastikan dan menyampaikan perkara ini kepada para pengundi agar mereka tidak ragu-ragu untuk memilih calon BN,” ujarnya lagi.

Untuk rekod, semalam ketika berkempen di PRK Slim, Timbalan Pengerusi BN Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, jika PAS mengambil keputusan untuk bersama di dalam Perikatan Nasional (PN) ianya tidak menimbulkan apa-apa isu dan berharap mana-mana pihak tidak terkeliru dengan soal berkenaan.

Ini kerana jelas beliau PAS adalah parti PAS dan piagam di dalam MN bersama UMNO adalah dalam ruang lingkup kerjasama dan UMNO sendiri telah membuat pendirian untuk tidak menyertai PN. – UMNO ONLINE

Oleh: Azlina Rosdy

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.