Pendirian Daftar PN, PAS Perjelas Esok – Ahmad Zahid

TANJUNG MALIM, 22 Ogos – Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang akan menjelaskan pendirian parti itu yang berada dalam jawatankuasa penaja bersama Bersatu untuk mendaftarkan Perikatan Nasional (PN).

Ahmad Zahid berkata beliau dijangka mengadakan pertemuan dengan Abdul Hadi di Slim River di sini, pada 9 malam esok sempena kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim.

“Sebagaimana yang diketahui, kini PAS telah bersama-sama dengan Bersatu untuk mendaftarkan partinya sebagai gabungan rasmi dalam PN dan ini akan diperjelaskan esok.

“Tentunya ada mesej tertentu di mana Muafakat Nasional akan terus diperkasa dan diperkukuhkan, bukan hanya UMNO dan PAS tetapi kita menggunakan pendekatan yang mana parti-parti komponen BN tetap bersama,” katanya kepada pemberita pada Program Ziarah Kasih di Felda Gunung Besout 2 dekat sini, hari ini.

Rabu lepas, Setiausaha Agung PAS Datuk Takiyuddin Hassan mengesahkan parti itu berada dalam jawatankuasa penaja bersama Bersatu untuk mendaftarkan PN.

Sebelum ini, UMNO membuat keputusan untuk tidak menyertai PN tetapi menyokong kerajaan PN berlandaskan sokongan Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri UMNO dan BN dalam pembentukan kerajaan pusat dan beberapa kerajaan negeri.

Sementara itu, Ahmad Zahid berkata beliau telah meminta Pengerusi Barisan Nasional (BN) dan UMNO Sabah Datuk Seri Bung Moktar Radin untuk mengadakan pertemuan secara menyeluruh dengan semua pihak bagi menyelesaikan pertikaian dalam kalangan kepimpinan parti di negeri itu.

“Saya tidak nampak ada permasalahan kerana mungkin ada perbezaan pendapat tetapi saya sudah minta Datuk Seri Bung Mokhtar untuk melakukan penglibatan dengan semua pihak dalam parti supaya kemenangan (Pilihan Raya Negeri Sabah) memihak kepada kita.

“Hari ini, ada mesyuarat Badan Perhubungan UMNO Sabah dan saya akan mendapatkan maklum balas daripada beliau esok mengenai beberapa tindakan bersama yang akan kita lakukan bagi memenangkan semua calon-calon BN,” katanya.

Beberapa pemimpin UMNO Sabah sebelum ini tidak bersetuju dengan pelantikan Bung Moktar dalam mengetuai jentera BN menghadapi PRN Sabah kerana mempunyai kes di mahkamah.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 26 Sept ini sebagai tarikh Pilihan Raya Negeri Sabah, penamaan calon pada 12 Sept manakala pengundian awal pada 22 Sept. – BERNAMA