Jentera Mesti Bersedia Seratus Peratus, Politik Sekarang Amat Dinamik – Shahril

KUALA TERENGGANU, 22 Ogos – Dalam keadaan suasana politik negara yang amat dinamik sekarang ini, jentera Penerangan UMNO mesti berada dalam keadaan siap sedia seratus peratus, kata Ketua Penerangan UMNO Malaysia, Shahril Hamdan.

Ujarnya, ini bersandarkan kepada segala kemungkinan sama ada yang telah berlaku atau mungkin yang akan berlaku dalam politik negara.

“Kalau kita lihat kiri dan kanan semua keadaan politik serba berubah dan dinamik. Perkara yang tidak sangka berlaku boleh berlaku.

“Perkara yang kita nak menjangka berlaku di hadapan mata kita pun kita perlu bersiap siaga dan sentiasa mempunyai kesediaan untuk apa sahaja kemungkinan walaupun kemungkinan itu tidak ada dalam skrip politik kita pada hari ini,” katanya di program Bengkel Penerangan dan Komunikasi Strategik peringkat negeri Terengganu di Terengganu Equestrian Resort, Kuala Ibai di sini hari ini.

Hadir sama Pengerusi Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Said yang telah merasmikan program tersebut, Ketua Penerangan UMNO negeri, Datuk Nik Dir Nik Wan Ku dan beberapa Ketua-ketua UMNO bahagian.

Tambah Shahril lagi, begitu juga dengan ura-ura mengenai Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) yang dijangka akan diadakan dalam waktu terdekat ini.

“Seperti ada ura-ura ada gambaran bahawa pilihan raya umum boleh diadakan dalam masa terdekat. Malah saya berada di Slim malam kelmarin, baru minggu lepas di Sabah, banyak siri-siri pilihan raya dan kerja-kerja nak kita kena buat.

“Kalau saya nak pinjam kata-kata Pengerusi Perhubungan Kedah Datuk Seri Jamil Khir masa buat kursus yang serupa, beliau sebut bahawa kalau nak kira tentang ‘alamat’, ‘alamat-alamat’ PRU itu memang ada, cuma kita tak boleh menjamin ia berlaku dalam masa terdekat adakah ia akan berlaku tahun ini, adakah berlaku awal tahun depan, adakah ia akan dilanjutkan Wallahua’lam.

“Tapi macam mana pun, kita sebagai parti UMNO mestilah bersiap siaga seratus peratus,” katanya.

Jelasnya lagi, dalam menghadapi pilihan raya baik PRU-15 mahupun Pilihan Raya Negeri (PRN), Penerangan parti mempunyai gerak kerja yang tersusun dan rapi.

“Dalam konteks penerangan, kalau nak bersiap sedia hadapi PRU, PRN kita kena ada strategi. Kita kena ada susunan gerak kerja yang terbaik yang paling rapi yang kita boleh laksanakan,” katanya. – UMNO ONLINE

Oleh: Zylan Mohamad

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.