Tolak Mereka Yang Mempunyai Agenda Lain, Pilih Mohd Zaidi Yang Ada Kemampuan – Shahril

TANJUNG MALIM, 21 Ogos –  Ketua Penerangan UMNO Shahril Hamdan mengingatkan pengundi pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim agar membuat pilihan terbaik dengan memilih calon yang mampu menyelesaikan masalah seiring dengan tugas sebagai wakil rakyat.

Menurut beliau perkara utama yang akan dibawa oleh wakil rakyat adalah untuk kepentingan masyarakat setempat dan sewajarnyalah seseorang itu datang daripada sebuah parti yang ada struktur malahan mempunyai kekuatan yang tersendiri.

‘’Cuma ada mungkin yang akan datang atau pun yang telah datang dalam lima enam hari kebelakangan ini dan yang akan datang dalam tujuh hari yang mendatang  yang akan menceritakan bahawa  walaupun seorang itu calon bebas dan namanya bebas tetapi katanya datang dari parti yang berjuang jugalah…nama parti itu parti Pejuang.

‘’Parti itu belum berdaftar jadi apa yang saya kritik tadi itu masih terpakai sebab ianya masih tidak berdaftar. Dan kita tidak tahu parti Pejuang ini apa cara dia nak bawa pembangunan untuk kawasan sebab ianya parti yang baru nak ditubuhkan,’’ katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Taqarrub di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Changkat Sulaiman, di sini, Khamis malam.

Serentak itu Shahril yang juga Timbalan Pengerusi Pemuda BN melontarkan persoalan apakah usaha menubuhkan parti tersebut di saat PRK DUN Slim sekadar untuk digunakan sebagai batu loncatan kepada agenda lain.

‘’Saya nak lontarkan satu persoalan kepada rakyat dan pengundi di sini, tadi saya dah ingatkan  kerajaan baharu ditubuhkan pada 1 Mac 2020.  Kerajaan Pakatan Harapan (PH) tumbang pada bulan Febuari 2020. Kumpulan yang buat Pejuang ini dan yang mahu mewujudkan parti baharu ini mereka boleh buat parti baru pada bulan Mac..April…dan kalau betul nak ditubuhkan mereka boleh tubuhkan pada bulan lima..bulan enam…bulan tujuh.

‘’Kenapa bulan lapan ini dan hampir enam bulan  baru ditubuhkan parti Pejuang…tidak ada sebab lain melainkan mereka mahu menggunakan PRK DUN Slim ini sebagai batu loncatan untuk agenda lain. Mereka menggunakan PRK Slim ini….sebab itu bagi sayalah mereka hanya mewujudkan hanya beberapa hari  sebelum penamaan calon.

‘’Jadi kalau andai kata benar persepsi tersebut saya rasa rakyat dan pengundi di kawasan DUN Slim takkan kita nak merelakan PRK ini digunakan untuk melonjakkan populariti sebuah parti yang sebenarnya boleh dibuat sebelum ini,’’ ujarnya.

Ujar beliau lagi agenda mereka sebenarnya bukanlah agenda untuk masyarakat di DUN Slim semata-mata tetapi adalah sebaliknya.

‘’Agenda mereka bukan agenda untuk sini dan agendanya lain…agenda yang tidak tercapai atau pun dah capai tetapi nak capai sekali lagi. Saya pun kurang faham apa lagi yang mahu diperjuangkan oleh parti pejuang ini ini sedangkan perkara itu kita maklum mereka jatuh pun disebabkan bergaduh sesama sendiri…disebabkan janji bukan hanya kepada rakyat tidak tertunai tetapi janji sesama sendiri pun tidak ditunaikan.  Sebab itulah kita tidak boleh percaya selain daripada calon nombor dua Mohd Zaidi Aziz.’’ Katanya.- UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.