Muafakat Nasional: Jangan Keliru… Tidak Timbul Isu PAS Sertai PN – Mohamad

TANJUNG MALIM, 21 Ogos – Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Mohamad Hasan berkata jika PAS mengambil keputusan untuk bersama di dalam Perikatan Nasional (PN) ianya tidak menimbulkan apa-apa isu dan berharap mana-mana pihak tidak terkeliru dengan soal berkenaan.

Ini kerana jelas beliau PAS adalah parti PAS dan piagam di dalam Muafakat Nasional bersama UMNO adalah dalam ruang lingkup kerjasama dan UMNO sendiri telah membuat pendirian untuk tidak menyertai PN.

‘’PAS nak bekerjasama dengan parti mana-mana itu tidak ada isu. Kita tidak mengikat… UMNO telah membuat pendirian bahawa kita tidak akan menyertai PN. Jadi itu pendirian parti kita dan PAS menghormati pendirian kita dan PAS pula kata dia nak bersama untuk menyertai PN, kita juga menghormati pendirian PAS. Tidak ada isu.

‘’Saya harap supaya orang jangan keliru tentang ini. Yang penting apabila pilihan raya umum dilakukan, kita cuba mengelakkan sedaya upaya mungkin agar tidak ada pertandingan tiga penjuru. Itu penting… kalau bertanding tiga penjuru kita kalah dan yang menang Pakatan Harapan (PH),’’ katanya.

Terdahulu beliau bersama calon BN, Mohd Zaidi Aziz mengadakan ramah mesra bersama pengundi di Pekan Slim.

Sementara itu menyentuh soal kempen PRK DUN Slim yang memasuki minggu kedua, Mohamad yang juga Timbalan Presiden UMNO menegaskan kempen yang berlangsung sehingga kini berlaku dalam suasana yang muhibah dan cukup tenang.

Katanya suasana berkenaan diharap dapat terus dikekalkan menjelang tempoh baki berkempen dan pada masa yang sama penjelasan kepada pengundi setempat serta gerak kerja jentera parti palbagai peringkat terus berjalan.

‘’Alhamdulillah selepas seminggu lebih kita dalam suasana kempen PRK Slim saya amat gembira kerana suasana berkempen di Slim ini amat tenang tidak sepertimana suasana PRK kebiasaannya kerana agaknya tidak ada parti pembangkang yang bertanding tetapi cuma parti bebas walaupun tidak sebebas mana.

‘’Dalam masa berkempen ini pemimpin-pemimpin parti, pemimpin setempat memungut serta mengutip isu-isu dalam masyarakat kerana itulah juga tujuan kita untuk menang dalam pilihan raya ini supaya wakil kita nanti dapat menjalankan tugas untuk berkhidmat di DUN Slim ini.

“Kita harap Mohd Zaidi dapat membawa kepada pihak berkaitan… beliau sekarang sedang mengumpulkan segala apa jua masalah dan dibawa kepada kerajaan negeri atau pun agensi-agensi kerajaan pusat,’’ katanya lagi. – UMNO Online

Oleh: Azman Abas

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.