Menjelang Fasa Kedua Tempoh Berkempen, Lipat Gandakan Lagi Usaha – Hatta

TANJUNG MALIM, 21 Ogos – Pengarah Operasi Jentera Barisan Nasional (BN) Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim, Mohamad Hatta Lodin berkata memasuki fasa kedua tempoh berkempen jentera parti akan dilipatgandakan lagi usaha dalam membantu kemenangan calon BN Mohd Zaidi Aziz, 29 Ogos nanti.

Beliau melahirkan kesyukuran kerana sepanjang kempen sehingga ke hari ini segalanya berjalan lancar dengan penglibatan menyeluruh jentera parti pelbagai peringkat.

“Alhamdulillah, jentera akan dilipatgandakan gerak kerja menjelang fasa kedua sehari dua ini. Baki kempen yang ada insya-Allah kita akan terus bergerak dan sehingga kini 70 peratus… malahan calon juga telah bergerak ke semua tempat dan insya-Allah masa yang berbaki ini kita akan terus kuatkan lagi usaha.

“Apa yang penting semangat serta kerjasama diteruskan sehinggalah ke hari pengundian terutama membawa seramai mungkin pengundi-pengundi yang telah dikenalpasti untuk keluar mengundi,” katanya kepada UMNO-Online di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Pekan Lama, di sini.

Pada masa yang sama beliau turut mengucapkan penghargaan kepada semua jentera parti pelbagai peringkat termasuklah di mana sahaja yang terlibat dalam usaha membantu parti pada PRK kali ini.

“Terima kasih kepada semua jentera termasuk petugas tempatan, negeri dan pelbagai jentera lain dan harap kita juga bersedia sehingga hari pengundian dan menurunkan pengundi.

“Kita akan tingkatkan lagi momentum selepas ini insya-Allah,” ujarnya.

Calon BN Mohd Zaidi Aziz, akan ditentang dua calon Bebas dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim yang bakal diadakan pada 29 Ogos nanti. Dua calon Bebas tersebut ialah Amir Khusyairi Mohamad Tanusi, dan Santhara Sekaran Subramaniam.

PRK DUN Slim diadakan berikutan kematian penyandangnya Datuk Mohd Khusairi Abdul Talib pada 15 Julai.

Pada PRU14, Mohd Khusairi yang mewakili BN menang dengan majoriti 2,183 undi menewaskan calon Bersatu yang bertanding atas tiket PKR, Mohd Amran Ibrahim dan calon PAS, Muhammad Zulfadli Zainal. – UMNO Online

Oleh: Azman Abas

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.