Kita Tetap Dalam Muafakat Nasional… Teruskan Fokus Untuk PRU-15 – KuNan

KUALA LUMPUR, 21 Ogos – Bendahari UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor meminta orang ramai khususnya ahli-ahli UMNO tidak melatah apabila PAS memutuskan untuk menyertai Perikatan Nasional (PN).

Katanya, tidak ada apa-apa yang perlu dibimbangkan kerana UMNO tetap sepakat dalam Muafakat Nasional (MN) bersama PAS walaupun UMNO telah menyatakan pendirian tidak akan menyertai PN.

“Perlu difahami bahawa MN dan PN tidak sama dan PAS nak bekerjasama dengan parti mana-mana itu tidak ada isu sebab hubungan kita dalam MN tidak menyekat atau mengikat perjalanan antara UMNO dan PAS,” katanya yang juga Ahli Parlimen Putrajaya kepada UMNO Online.

Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Putrajaya berkata, anggota parti perlu terus fokus kepada agenda parti kerana Presiden, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi juga telah memaklumkan bahawa UMNO dan PAS komited dalam mencari titik persamaan dan bukannya melayani titik perbezaan.

“Sekarang kita mesti terus mantapkan UMNO/Barisan Nasional, perkukuh jentera kita, dekati pengundi dan eratkan silaturrahim antara semua pihak.

“Yang penting apabila Pilihan Raya Umum ke-15 berlangsung kelak, kita sudah siap sepenuhnya. Untuk MN tentunya BN akan cuba mengelakkan sedaya upaya mungkin agar tidak ada pertandingan tiga penjuru, kerana kita sedar setiap perpecahan maka Pakatan Harapan akan ambil peluang,” katanya lagi.

Terdahulu Zahid telah menekankan bahawa UMNO tidak pernah sama sekali mencampuri hal ehwal parti lain walaupun berada bersama PAS di dalam MN.
Katanya, Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri UMNO dan BN kekal menyokong PN.

Sebelum itu, Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan tampil menjelaskan pendirian parti itu terhadap PN apabila berkata, parti pimpinan Datuk Seri Abdul Hadi Awang itu akan menyertai perikatan tersebut bersama Bersatu. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.