Kemenangan BN Pada PRK Slim ‘Booster’ Untuk PRN Sabah, Gambaran PRU – Ismail Sabri

 

TANJUNG MALIM, 21 Ogos – Naib Presiden UMNO Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob percaya kemenangan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim pada 29 Ogos nanti boleh dianggap ‘booster’ kepada rakan-rakan jentera parti untuk menghadapi  Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah selain gambaran terhadap Pilihan Raya Umum (PRU).

Menurut beliau keputusan yang akan dicapai itu nanti sudah pasti akan melonjakkan semangat jentera-jentera parti serta rakan-rakan lain di Sabah untuk terus bergerak serta berusaha dalam membantu parti mencapai kemenangan pada PRN nanti.

‘’PRK Slim adalah petunjuk kepada pilihan raya umum akan datang dan insya Allah kemenangan besar nanti adalah gambaran PRU malahan kita percaya PRU pun tidak lama. Selain itu kemenangan ini juga akan melonjakkan semangat jentera kita di Sabah yang akan menghadapi  pilihan raya negeri dalam waktu tedekat ini,’’ katanya.

Beliau berkata demikian kepada UMNO-Online selepas mengadakan sembang santai Bersama jentera parti di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Pekan Lama.

Ismail seterusnya menambah calon BN, Mohd Zaidi Aziz mempunyai banyak kelebihan namun apa yang penting jentera terus bekerja sehingga pada malam 29 Ogos nanti.

‘’Kita ada kelebihan banyak…Mohd Zaidi lama dalam UMNO bahagian dan penglibatan dalam NGO dan sebagainya lagi…beliau tahu keperluan orang di Slim malah beliau boleh bawa permasalahan ke dalam DUN. Kalau yg melibatkan persekutuan kita pun jadi kerajaan…jadi lebih mudah memilih suara orang parti dalam kerajaan. Mohd Zaidi juga orang tempatan pula dan ada kelebihan di situ.

‘’Apa pun setiap pertandingan tidak boleh selesa higga diumumkan kemenangan…Wanita teruskan bekerja. MCA buat kajian sikap rumah ke rumah di Pekan Slim…mungkin kajian sikap MCA kita dapat gambaran nanti dan begitu juga MIC serta rakan-rakan BN yang lain pun membantu. Pas juga sama… dan rakan-rakanlain-lain. Kalau kita semua jaga dan terus bekerja saya percaya apabila diumumkan pada malam 29 Ogos bukan sahaja menang malah menang dengan lebih besar,’’ ujarnya.- UMNO Online