Berpecah Resepi Untuk Kalah, Sama-Sama Cari Jalan Menang PRN Sabah – Mohamad Hasan

 

TANJUNG MALIM, 21 Ogos – Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Mohamad Hasan berkata perpecahan merupakan resepi untuk kalah dan serentak itu beliau mengharapkan semua pihak agar bersatu padu serta berusaha bersama-sama untuk mencari jalan bagaimana untuk memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah yang akan diadakan dalam masa terdekat.

Menurut beliau apabila parti memasuki pilihan raya sudah pasti matlamat utamanya adalah untuk memenangi pilihan raya berkenaan dan sewajarnyalah semua pihak berunding elok-elok  kerana apa yang penting adalah memastikan kemenangan parti.

‘’Presiden apabila bercakap atas asas parti dan telah pun berunding elok-elok dan semua mesti menerima bahawa itu adalah keputusan yang dibuat oleh parti yang telah pun putuskan. Kita harap supaya semua orang menerimanya siapa sahaja yang mengepalainya. Yang penting dalam pilihan raya adalah kita nak menang.

‘’Jadi saya harap supaya kita jangan berpecah-pecah, jangan kita bersengketa dan kita mesti satukan tumpuan untuk kita cari jalan bagaimana kita nak menggerakkan jentera dan jentera amat penting untuk memastikan kemenangan di dalam pilihan raya,’’ katanya di sini, hari ini.

Terdahulu beliau bersama calon BN, Mohd Zaidi Aziz mengadakan ramah mesra bersama pengundi di Pekan Slim.

Mohamad yang juga Timbalan Presiden UMNO seterusnya menegaskan untuk memenagi PRN Sabah bukanlah satu tugas yang mudah kerana akan berdepan dengan kerajaan sedia ada yang mempunyai pelbagai kelebihan.

Jadi ujarnya semua pihak mesti faham dan siapa yang mengepalainya tidak penting dan apa yang perlu diutamakan adalah parti.

‘’Parti kita nak menang sebab bila parti masuk pilihan raya tujuan kita adalah nak menang untuk menubuhkan kerajaan. Kalau pilih sesiapa pun ia punya kaedah pun sama juga kerana keutamaan kita adalah parti mesti menang.

‘’Kerajaan sedia ada di Sabah kerajaan Warisan akan menggunakan segala kekuatan yang ada untuk mempertahankan kerajaan mereka. Kita pula perlu bekerja kuat untuk kita pastikan rakyat atau pengundi memberikan sokongan kepada kita.

“Jadi jangan berpecah-pecah kerana jika berpecah itu resepi untuk kita kalah. Jadi kalau belum masuk gelanggang lagi dah kalah tidak guna juga.

Sebelum ini dilaporkan bagi merealisasikan kuasa autonomi yang diberikan kepada UMNO Sabah, maka UMNO Pusat menyerahkan kepada seluruh jajaran kepimpinan BN dan UMNO Sabah untuk membuat keputusan bagi berhadapan PRN itu.

Pengerusi BN merangkap Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, Datuk Seri Bung Mokhtar Radin selaku Pengerusi BN dan UMNO Sabah akan mengetuai jentera pilihan raya.

“Menjelang PRN Sabah, seluruh jentera BN dan UMNO Sabah telah diarahkan untuk bersiap siaga.

“Memandangkan kuasa autonomi telah diberikan kepada UMNO Sabah maka saya selaku Pengerusi BN dan Presiden UMNO menyerahkan kepada keseluruhan jajaran kepimpinan Sabah menggunakan seluruh kebijaksanaan dan strategi untuk menterjemahkan kuasa autonomi yang telah diberikan,” ujar beliau dalam satu sidang media yang diadakan di Parlimen, sebelum ini. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.